KUALA LUMPUR: Pelakon dan pensyarah, Dr. Norzizi Zulkifli, berpendapat karya agung William Shakespeare mempunyai persamaan dengan cerita klasik masyarakat Melayu, sekali gus membuka ruang untuk dipersembahkan menerusi seni teater tradisional Mak Yong.
Menurut Norzizi , karya The Comedy of Errors yang diterbitkan sekitar tahun 1500-an mempunyai konflik yang hampir sama dengan cerita rakyat Melayu, Anak Raja Dua Serupa, iaitu kisah lisan yang diwarisi turun-temurun.
Justeru, Norzizi tampil melakukan inovasi dengan mengadaptasi karya Shakespeare itu ke dalam persembahan Mak Yong bagi menarik minat golongan muda mendekati seni warisan tempatan.
“Sebelum ini saya pernah menghasilkan pementasan Mak Yong Titis Sakti yang diadaptasi daripada karya Shakespeare, A Midsummer Night’s Dream. Kali ini saya memilih The Comedy of Errors.
“Dalam proses adaptasi, sesebuah naskhah perlu mempunyai persamaan dengan budaya dan bentuk seni yang ingin saya gabungkan. Itu menjadi alasan utama saya memilih karya ini.
“Apabila membaca The Comedy of Errors, saya mendapati ia mempunyai roh yang sama dengan cerita rakyat kita, Anak Raja Dua Serupa, yang berkisar tentang salah faham melibatkan pasangan kembar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sesi pratonton media pementasan Mak Yong Shakespeare: The Comedy of Errors di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai proses adaptasi itu, Norzizi berkata, dia mengekalkan jiwa dan keindahan karya Shakespeare, namun pada masa sama memberi kebebasan kepada pelakon untuk melakukan improvisasi komedi secara spontan mengikut tradisi Mak Yong.
“Bagi produksi ini, saya mahu mengekalkan roh Shakespeare. Apabila penonton menyaksikannya, mereka tahu ia sebuah karya Shakespeare, tetapi dalam masa sama ia benar-benar berada dalam dunia Mak Yong.
“Saya mahu penonton dapat merasai kedua-duanya. Unsur Mak Yong tetap kuat, tetapi identiti Shakespeare juga tidak hilang.
“Dalam Mak Yong, kita tidak boleh terlalu terikat dengan skrip. Watak Peran mempunyai ruang yang luas untuk berimprovisasi, malah boleh menyampaikan sindiran terhadap pemerintah atau raja. Sebab itu skrip sentiasa diperhalusi sepanjang latihan.
“Dialog Shakespeare yang indah tetap dikekalkan, tetapi watak Peran diberikan kebebasan untuk menghidupkan suasana melalui improvisasi,” katanya.
Menurut Norzizi, pendekatan kreatif seperti itu penting bagi menarik perhatian penonton bandar dan generasi baharu yang mungkin kurang terdedah kepada teater tradisional.
“Kita tahu penonton bandar kadang-kadang pulang daripada bekerja dalam keadaan penat. Jadi, kita perlu menyuntik elemen yang mampu mencetuskan rasa ingin tahu.
“Apabila mereka melihat pertembungan antara Shakespeare dan Mak Yong, mereka pasti tertanya-tanya bagaimana kedua-duanya digabungkan. Dari situ, mereka akan mula mengenali, memahami dan menghargai seni Mak Yong,” katanya.
Mak Yong Shakespeare: The Comedy of Errors akan dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas pada 25 Julai.
Tiket pementasan ditawarkan pada harga antara RM69 hingga RM169, manakala penyertaan bagi bengkel Mak Yong berharga RM50 seorang. – UTUSAN










