PETALING JAYA: Penguasaan kartel terhadap import dan bekalan bahan mentah makanan ternakan dikenal pasti antara punca utama kenaikan harga ayam yang terus membebankan pengguna dan industri penternakan.
Menurut sumber industri, kawalan terhadap bahan mentah utama membolehkan pihak tertentu mempengaruhi kos pengeluaran ayam sejak peringkat awal rantaian bekalan industri.
Katanya, hampir 90 peratus bahan mentah makanan ternakan bergantung kepada barangan import, termasuk jagung, hampas kacang soya, meat bone meal (tepung daging dan tulang) serta pelbagai campuran vitamin.
“Keadaan itu menyebabkan pengusaha makanan ternakan sukar mengawal kos apabila harga bahan mentah berubah mengikut ketetapan pembekal yang menguasai pasaran.
“Terdapat syarikat besar yang mengawal pelbagai segmen industri bermula daripada bekalan anak ayam, makanan ternakan, penternakan kontrak sehingga pengedaran ayam.
“Penguasaan menyeluruh itu memberikan kelebihan kepada pemain industri tertentu untuk menentukan hala tuju pasaran dan mempengaruhi harga sepanjang rantaian bekalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sumber turut mendakwa, penternak kecil yang beroperasi secara pasaran terbuka berdepan tekanan kerana tidak mempunyai kuasa tawar-menawar terhadap harga anak ayam dan dedak.
Katanya, harga anak ayam sering berubah tanpa kawalan yang jelas, sekali gus menyukarkan penternak merancang kos pengeluaran dan mengekalkan keuntungan operasi.
“Pengusaha ladang kini tersepit antara peningkatan kos pengeluaran dengan harga jualan yang tidak semestinya bergerak seiring dengan keadaan sebenar di lapangan.
“Situasi itu menyebabkan sebahagian penternak kecil menanggung kerugian apabila harga ayam di ladang jatuh di bawah kos pengeluaran walaupun perbelanjaan meningkat,” katanya. – UTUSAN










