PETALING JAYA: Penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata atau flat rate kini dimansuhkan selepas Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 mula berkuat kuasa hari ini sekali gus memberi perlindungan adil kepada pengguna.
Sebelum ini, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, menerusi peruntukan baharu melalui pindaan yang telah dibuat, ia memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki dan Kadar Faedah Efektif bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.
“Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan.
Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan sistem pembiayaan sewa beli di negara ini lebih adil, telus dan berdaya saing.
Penguatkuasaan akta berkenaan adalah sebahagian usaha kerajaan memperkemas ekosistem pembiayaan kredit pengguna agar lebih seimbang dan tidak membebankan rakyat.
Menurut beliau, sebanyak 11 institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli bersedia menawarkan kemudahan pinjaman di bawah peruntukan baharu itu, selaras dengan pelaksanaan undang-undang berkenaan di seluruh negara.
Pelaksanaan tersebut turut melibatkan Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Caj Terma) 2026 yang turut berkuat kuasa hari ini.
Armizan berkata, antara isu yang sering menjadi keluhan pengguna sebelum ini adalah berkaitan transaksi sewa beli kenderaan, khususnya beban caj faedah tersembunyi serta baki pinjaman yang masih tinggi walaupun penyelesaian awal pinjaman dibuat.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman.
Armizan berkata, pindaan itu juga membenarkan penggunaan teknologi dalam perjanjian sewa beli, termasuk tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik.
Katanya, langkah itu dapat meningkatkan kecekapan proses perjanjian selain memperkenalkan keperluan usaha wajar bagi pengesahan identiti peminjam bagi mengurangkan risiko penipuan.
Sementara itu, beliau berkata, fasa kedua pelaksanaan akta tersebut disasarkan bermula pada September 2026.
Katanya, institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli yang masih dalam proses persediaan termasuk integrasi serta pengubahsuaian sistem diberikan tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027. – UTUSAN










