KUALA LUMPUR: Budaya menganggap penyandang sesuatu jawatan atau kedudukan penting dalam parti politik sebagai individu yang ‘tidak boleh diusik’ merupakan satu kesilapan besar yang mencemarkan sistem demokrasi kepartian.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, lebih membimbangkan apabila jawatan berkenaan dianggap hanya layak dikekalkan atau diwarisi oleh ahli keluarga atau pihak tertentu yang mempunyai kepentingan.
Menurut beliau, amalan sedemikian bukan sahaja menjejaskan integriti sesebuah parti, malah menimbulkan kebencian rakyat terhadap kredibiliti serta peranan sebenar institusi politik.
“Memegang jawatan penting dalam mana-mana pertubuhan politik atau yang berkaitan dengannya merupakan satu amanah dan nilai kepercayaan yang diberikan oleh ahli serta rakyat.
“Jika seseorang berpendirian bahawa sesuatu jawatan itu tidak boleh diusik oleh orang lain kecuali dirinya atau kroninya, maka pemimpin seperti itu sebenarnya tidak layak memimpin,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, parti politik yang bermaruah serta memperjuangkan ketelusan tidak sepatutnya terus ‘menyimpan’ pemimpin yang mempunyai pemikiran sedemikian.
Mengambil contoh proses pemilihan calon pilihan raya di peringkat negeri mahupun Persekutuan, beliau berkata, setiap calon dipilih dan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti selepas melalui penelitian daripada pelbagai sudut.
Sehubungan itu, katanya, keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti perlu dihormati dan diterima dengan hati terbuka walaupun tidak memenuhi kehendak atau harapan pihak tertentu.
“Pemimpin yang ikhlas dan berhemah tidak akan kecewa, sakit hati atau berdendam sekiranya dirinya atau kroninya tidak tersenarai sebagai calon pilihan raya.
“Bersikap terbuka dan memahami bahawa ‘bukan rezeki kita’ adalah lebih afdal kerana perjuangan politik seharusnya berteraskan kepentingan rakyat, bukannya memenuhi kepentingan peribadi,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Ali menegaskan adalah satu tanggapan yang amat silap jika ada pihak beranggapan orang lain tidak layak memegang jawatan atau menganggap kedudukan dalam parti, termasuk kerusi wakil rakyat, sebagai hak pusaka yang perlu diwarisi oleh anak cucu. – UTUSAN










