Jangan ada pihak ubah amalan politik, demokrasi negara - Mohamad Sabu - Utusan Malaysia

Jangan ada pihak ubah amalan politik, demokrasi negara – Mohamad Sabu

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Pilihan raya merupakan medan pertarungan antara parti-parti politik berdaftar di Malaysia dan tidak seharusnya melibatkan mana-mana pihak yang tidak boleh dilawan secara berpolitik.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu sehubungan itu berharap tiada mana-mana pihak yang bertindak mencuba untuk mengubah amalan demokrasi berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

Katanya, sistem demokrasi negara perlu terus dipertahan dengan memberi ruang kepada parti-parti politik bersaing secara sihat untuk membentuk kerajaan atau memainkan peranan sebagai pembangkang.

“Kita tak mahu lawan dengan pihak yang tidak boleh dilawan, saya orang lama dalam politik Malaysia, biarkan parti melawan parti. Jika gelanggang itu dibuka ia akan berbahaya kepada Malaysia.

“Jadi kekalkan perlawanan antara parti dengan parti. Berapa parti hendak lawan silakan, kita hadap, kita menang boleh, mereka kalah pun boleh. Tetapi jangan muncul pihak yang kita tidak boleh lawan.

“Jangan ubah cara politik Malaysia, jangan cuba ubah demokrasi dan perlembagaan Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambir, di sini malam ini.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi PH turut memberitahu, jentera PH daripada mana-mana parti komponen perlu akur dengan pemilihan calon yang ditetapkan kepimpinan tertinggi gabungan itu.

“Proses pembahagian kerusi bagi PRN Johor bukan sesuatu yang mudah, namun berjaya diselesaikan menerusi rundingan dan persefahaman antara parti-parti komponen dalam PH.

“Setiap calon bertanding, daripada parti komponen apapun, jentera PKR, Amanah dan DAP perlu bekerja keras memastikan kemenangan demi memastikan Johor ditadbir PH,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN