Jalaluddin dedah nama dua ADUN PH pernah dicadang sebagai MB Negeri Sembilan

Jalaluddin dedah nama dua ADUN PH pernah dicadang sebagai MB Negeri Sembilan

JALALUDDIN Alias bersalaman dengan orang ramai selepas tiba untuk merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian UMNO Jelebu di Simpang Pertang dekat Jelebu, Negeri Sembilan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Datuk Seri Jalaluddin Alias hari ini mendedahkan beliau pernah mencadangkan supaya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dipilih sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu berkata, ia berikutan krisis politik yang tercetus selepas UMNO hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.

Dua wakil rakyat tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim yang juga Ahli Exco kerajaan negeri serta ahli PKR dan ADUN Klawang, Datuk Ir. Bakri Sawir dari Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan berkata, dua nama tersebut dicadangkan kepada seorang `orang penting Putrajaya’ yang menghubunginya selepas UMNO menarik sokongan terhadap Aminuddin pada 27 April lalu.

“Hari ini saya hendak beritahu kepada orang ramai. Waktu krisis selepas kita tarik sokongan, saya dihubungi dan didatangi oleh orang penting dari Putrajaya yang minta kami supaya jaga kestabilan kerajaan dan kekal sehingga hujung penggal.

“Saya kata baiklah. Tiada masalah. Saya kata macam inilah, lantik Menteri Besar dalam kalangan PH. Datuk Noorzita ada dan ada bekas jurutera, Datuk Bakri pun layak untuk dilantik sebagai Menteri Besar. Namun cadangan ini tidak dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan secara serentak Persidangan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian UMNO Jelebu di Simpang Pertang dekat sini hari ini.

Jalaluddin membuat pendedahan itu bagi menjawab tuduhan kononnya beliau ‘mabuk kuasa’ untuk menjadi Menteri Besar dengan menarik sokongan bersama 13 ADUN UMNO negeri ini terhadap Aminuddin.

Jelasnya, sekiranya beliau mahu merebut jawatan berkenaan, tidak perlu baginya menunggu selama dua tahun lapan bulan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2023 untuk berbuat demikian.

Tambahnya, selepas PRN tersebut, BN mempunyai 14 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN), paling banyak kerusi mengatasi DAP yang menang 11 kerusi, PKR (5), Amanah (1) dan Perikatan Nasional (PN)(5).

“Pengundi di peringkat akar umbi kata ‘tunggu apa lagi Datuk Seri’. Semua pemimpin akar umbi kata, kali ini kita berhak kerana kita mempunyai mandat lebih besar daripada rakyat.

“Kenapa saya tidak ikut cakap mereka? Kerana kita hendak dengar mandat dan amanah pemimpin di peringkat kerajaan Pusat iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH,” ujarnya.

Jalaluddin turut membidas pihak yang menuding jari menyalahkan UMNO sebagai punca DUN terpaksa dibubarkan lebih awal daripada tempoh yang dibenarkan.

“Aminuddin yang membawa permohonan untuk membubarkan DUN kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Bukan UMNO yang bawa. Saya tidak lagi menjadi Ahli Exco kerajaan negeri waktu itu. Tetapi UMNO yang dipersalahkan,” ujarnya.

Beliau meminta rakyat meneliti dan menyemak setiap butiran serta peristiwa yang berlaku hingga membawa kepada krisis hari ini sebelum membuat sebarang keputusan atau dakwaan.-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN