INFINITY8 perluas rangkaian ruang kerja fleksibel di Johor - Utusan Malaysia

INFINITY8 perluas rangkaian ruang kerja fleksibel di Johor

CAWANGAN ke-14 INFINITY8 di Menara IIB, Medini Iskandar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia ruang kerja fleksibel, INFINITY8 membuka cawangan ke-14 miliknya, INFINITY8 Reserve IIB di Menara IIB bagi menyokong kemasukan perniagaan ke dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Pembukaan cawangan baharu seluas 13,417 kaki persegi di Medini Iskandar itu bakal memberi kelebihan strategik kepada syarikat antarabangsa, khususnya dari Singapura yang ingin meluaskan operasi serantau ke Johor.

Laporan Persekutuan Perniagaan Singapura sebelum ini mendedahkan sebanyak 93 peratus syarikat di republik itu melihat Johor sebagai destinasi pelaburan yang sangat menarik.

Pengasas Bersama INFINITY8, Lee Sheah Liang berkata, pelancaran cawangan berkenaan mencerminkan keyakinan tinggi syarikat terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang Johor yang dipacu oleh inisiatif JS-SEZ.

“Apabila semakin banyak syarikat meneroka peluang pengembangan ke Johor, mereka bukan sahaja memerlukan ruang pejabat semata-mata.

“Mereka juga memerlukan akses kepada bakat tempatan, sokongan operasi, kepakaran serta rangkaian perniagaan untuk berkembang dengan cekap dan peranan kami adalah menyediakan asas tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Selain menyediakan pejabat premium, INFINITY8 kini telah beralih daripada model perkongsian ruang kerja tradisional kepada platform ekosistem perniagaan yang lebih menyeluruh.

Melalui portfolio penyelesaian korporatnya, syarikat turut menawarkan khidmat Rekod Majikan (EOR), sumber manusia (HR), sistem penggajian, pengambilan pekerja serta jalinan perkongsian strategik untuk memudahkan kemasukan pelabur ke pasaran tempatan.

Syarikat berkata, PKS Singapura yang layak juga boleh memanfaatkan skim sokongan seperti Geran Bantuan Kesediaan Pasaran (MRA) Singapura bagi mengurangkan kos peluasan pasaran ke luar negara.

“Lokasi INFINITY8 Reserve IIB disifatkan sangat strategik kerana terletak hanya 15 minit dari Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) selain mempunyai hubungan langsung dengan lebuh raya utama.

“Kawasan Medini juga dikelilingi pembangunan matang termasuk EduCity Iskandar Malaysia, Hospital Gleneagles Medini dan LEGOLAND Malaysia Resort yang menjadi daya tarikan utama pelabur serta bakat luar,” katanya. 

Tambahnya, beberapa cawangan INFINITY8 lain di sekitar pusat bandar Johor Bahru dan Iskandar Puteri juga berada pada kedudukan terbaik untuk menerima limpahan ekonomi daripada zon ekonomi rentas sempadan itu.

“Kini dengan keseluruhan 14 cawangan di seluruh negara, syarikat kekal komited membantu komuniti perniagaan mengemudi pertumbuhan operasi dan tenaga kerja melalui integrasi ruang kerja yang dinamik,” tambahnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN