Ibu tidak putus berdoa, harap anak segera dibawa pulang

Ibu tidak putus berdoa, harap anak terkandas segera dibawa pulang

SAADIAH Mohammad berhubung dengan Mohammad Luqman Yahaya yang terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak sembilan bulan lalu menerusi panggilan video bagi melepaskan rindu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: “Saya hanya mahu anak pulang dengan selamat.”

Demikian luahan Saadiah Mohammad, 70, yang tidak pernah putus berdoa agar anak lelakinya, Mohamad Luqman Yahaya, 31, iaitu kru kapal MV Berkat Tuah yang terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak sembilan bulan lalu, segera dibawa pulang ke tanah air.

Saadiah yang tinggal di Felda Kerteh 5, Ketengah Jaya, Kemaman dekat sini berkata, tempoh tersebut terlalu lama buat keluarganya yang sentiasa menanggung kerinduan dan kebimbangan terhadap keselamatan anak kesembilannya daripada 10 beradik itu.

Katanya, Mohamad Luqman yang bekerja sebagai pembantu kapten kapal kini seolah-olah ‘terkurung’ di negara orang tanpa kepastian bila dapat kembali ke tanah air.

“Saya tidak putus doa. Sebagai ibu, saya harap Mohamad Luqman dapat dihantar pulang segera ke pangkuan keluarga.

“Walaupun dia jauh beribu batu, kami masih berhubung sama ada melalui telefon atau panggilan video,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Saadiah berkata, setakat ini keluarganya belum menerima sebarang perkembangan baharu daripada pihak bertanggungjawab berhubung usaha membawa pulang anaknya dan kru kapal lain yang terlibat.

Dia berharap keselamatan Mohamad Luqman bersama empat lagi kru kapal MV Berkat Tuah sentiasa terjamin sepanjang berada di sana.

“Luqman pernah bekerja dengan beberapa syarikat kapal sebelum ini tetapi inilah kali pertama dia berdepan masalah seperti ini. Sepanjang lapan tahun bekerja di atas kapal, ini pengalaman paling sukar yang pernah dilaluinya,” katanya.

Menurut Saadiah, sebagai ibu dia hanya mampu berharap nasib anaknya mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib agar penyelesaian segera dapat dicapai.

Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan lima kru kapal terbabit iaitu kapten kapal, Hendi Irawan, 43, dari Jakarta, Indonesia; Mohamad Luqman; Mark Martin, 39, dari Sarawak; Mohd. Shah Rizan Rahman, 33, dari Sabah dan Mohd. Fariduddin Muhamad Jainudin, 26, dari Tawau, Sabah masih terkandas di Pelabuhan Hamriyah.

Antara pihak yang telah dihubungi bagi membantu menyelesaikan isu berkenaan adalah Pejabat Perdana Menteri, pejabat buruh, Kedutaan Malaysia, Kedutaan UAE serta Jabatan Laut, namun sehingga kini mereka masih belum menerima penyelesaian yang diharapkan.

Pada 15 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus mempergiat usaha membawa pulang baki kru kapal Berkat Tuah yang masih terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai, UAE.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN