Hari Koperasi Negara 2026 sasar 10,000 pengunjung dari Zon Utara

Hari Koperasi Negara 2026 sasar 10,000 pengunjung dari Zon Utara

Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (tengah) semasa perasmian majlis Pra Peluncuran Hari Koperasi Negara 2026 (HKN’26) di Menara SKM hari ini. - UTUSAN/M FIRDAUS M JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hari Koperasi Negara 2026 (HKN’26) yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA, Arena Butterworth dari 3 hingga 5 Julai depan, dijangka menarik kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung khususnya dari Zon Utara.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B), Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, program tahunan itu bakal menghimpunkan gerakan koperasi dari seluruh negara menerusi pelbagai pengisian termasuk pameran, jualan, sesi perkongsian ilmu dan aktiviti komuniti.

Katanya, sebanyak 150 reruai akan mengambil bahagian dalam program tersebut melibatkan sektor ekonomi, pendidikan, teknologi, pelancongan, makanan dan keusahawanan. 

“HKN’26 bukan sekadar pameran koperasi. Kami membawakan sebuah festival rakyat yang menghimpunkan makanan tradisional, pakej pelancongan menarik, aktiviti keluarga, peluang perniagaan, peluang pendidikan, peluang pekerjaan dan pengiktirafan kepada koperasi terbaik negara.

“Dengan kehadiran 150 buah reruai yang menghimpunkan pelbagai sektor, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai maklumat, perkhidmatan dan tawaran menarik dalam satu lokasi,” katanya berucap pada Majlis Pra Peluncuran HKN’26 di Dewan Perdana, Bangunan SKM, hari ini.

Beliau berkata, antara daya tarikan utama program termasuk Jualan Madani Koperasi (JMK) yang menawarkan barangan keperluan harian dan produk koperasi pada harga lebih rendah, dengan penjimatan sehingga 40 peratus berbanding pasaran.

Selain itu, HKN’26 turut membuka peluang kepada pelajar dan pencari kerja melalui reruai Jom Masuk Universiti, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Kecerdasan Buatan (AI) serta MYFutureJobs yang menyediakan maklumat pendidikan, latihan kemahiran dan kerjaya.

“Selain itu, dua anugerah khas baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Khas Menteri: Koperasi Lestari dan Anugerah Khas Menteri: Koperasi Komuniti bagi mengiktiraf koperasi yang menunjukkan potensi besar untuk berkembang dan menjadi peneraju dalam sektor masing-masing,” katanya.

HKN’26 dijangka dilancarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada 4 Julai depan, menghimpunkan lebih 100 pengisian program sepanjang tiga hari berlangsung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN