PETALING JAYA: Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin kembali mengisi kerusi Ketua Pembangkang Dewan Rakyat manakala Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipindahkan ke kedudukan baharu.
Bagaimanapun, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu masih berada di barisan hadapan blok pembangkang menjelang Sidang Dewan Rakyat yang bermula esok.
Berdasarkan pelan susunan tempat duduk terkini yang dimuat naik di laman web rasmi Parlimen, Hamzah akan menduduki kerusi yang lazimnya diperuntukkan kepada Ketua Pembangkang, susulan pengumuman yang mengekalkan beliau dalam jawatan itu.
Kerusi di sebelah Hamzah pula akan diduduki Ahli Parlimen Kemaman yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar diikuti Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Di sebelah Abdul Hadi ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man manakala Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang digantung keahlian Bersatu turut berada dalam kelompok barisan hadapan pembangkang.
Pada persidangan sebelum ini, Muhyiddin ditempatkan bersebelahan Hamzah ketika beliau masih memegang jawatan Pengerusi PN.
Bagi sidang kali ini, Muhyiddin akan duduk bersebelahan Ahli Parlimen Putrajaya yang juga Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin.
Sementara itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan berlaku perubahan susunan tempat duduk blok pembangkang serta telah menerima surat berkaitan kedudukan Ketua Pembangkang.
“Surat (pelantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang) telah diterima dan perubahan tempat duduk di Dewan Rakyat juga akan berlaku,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri dilantik sebagai Ketua Pembangkang selepas Hamzah dipecat daripada Bersatu.
Bagaimanapun, Abdul Hadi ketika Konvensyen Reset yang berlangsung di Kelantan baru-baru ini mengumumkan Hamzah kembali dilantik memegang jawatan itu, selepas mendapat persetujuan kesemua ahli Parlimen pembangkang. – UTUSAN










