KOTA BHARU: Kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebagai gopoh.
Naib Presiden Pas Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, hal ini kerana kuasa memberi watikah untuk penggunaan logo PN bukan terletak pada Presiden parti.
“Saya rasa ada kesilapan dia (Muhyiddin) sebab kuasa ataupun watikah itu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukan Presiden parti.
“Dia mungkin ingat dia boleh guna dengan mudah. Tidak begitu, ada peraturannya,” kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Pas Kawasan Pengkalan Chepa yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang didakwa kini lebih terbuka menerima kemasukan parti lain ke dalam PN.
Katanya, hal ini kerana Presiden Bersatu itu sebelum ini menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra).
“Saya hairan sebab dulu dia tolak Pejuang dan Parti Putra nak masuk PN. Tiba-tiba selepas berlaku situasi ini, dia buka pula kepada parti-parti lain.
“Jadi nampak macam ada ‘double standard’ dalam pendirian dia,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan Bersatu akan kekal sebagai komponen dalam PN serta menggunakan logo gabungan politik berkenaan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos ini.-UTUSAN










