GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) perlu memberikan penjelasan berhubung dakwaan bahawa projek penambakan tanah seluas 70 ekar di hadapan Karpal Singh Drive di sini tidak dilaksanakan menerusi tender terbuka.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, persoalan itu timbul selepas beliau menerima jawapan bertulis terhadap soalan yang dikemukakan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 8 Mei lalu.
Menurut beliau, jawapan yang diterima hanya menyatakan keseluruhan projek pembangunan semula tapak pelupusan sampah Jelutong seluas 84 ekar dilaksanakan melalui proses Permintaan Cadangan (RFP), namun tidak menjelaskan secara khusus mengenai projek penambakan tanah seluas 70 ekar berkenaan.
Katanya, kegagalan kerajaan negeri memberikan penjelasan terperinci menimbulkan persoalan sama ada tender terbuka benar-benar dilaksanakan bagi projek tersebut.
“Tiada penjelasan diberikan sama ada tender terbuka atau RFP turut dijalankan bagi projek penambakan tanah seluas 70 ekar itu.
“Keadaan ini menimbulkan keraguan kerana projek berkenaan melibatkan nilai yang sangat besar dan kepentingan awam,” katanya di sini, hari ini.
Guan Eng berkata, Perjanjian Pembangunan Bersama bagi projek pemulihan tapak pelupusan sampah Jelutong bernilai RM1 bilion telah ditandatangani pada 21 Februari 2020, namun, semakan terhadap rekod awam juga tidak menemukan sebarang iklan tender terbuka yang berkaitan dengan projek penambakan tanah tersebut.
Tender terbuka merupakan antara prinsip utama pentadbiran Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) yang diamalkan kerajaan negeri sejak 2008 serta menjadi sebahagian daripada manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.
“Pada anggaran harga RM600 bagi setiap kaki persegi, tanah tambakan seluas 70 ekar itu berpotensi mempunyai nilai pasaran mencecah RM1.8 bilion.
“Saya meminta kerajaan negeri menjelaskan sebab tender terbuka tidak dilaksanakan bagi projek berkenaan, kecuali jika terdapat faktor tertentu seperti keselamatan negara, keperluan mendesak atau kepakaran khusus yang hanya dimiliki pihak tertentu,” katanya. – UTUSAN










