Generasi muda bukan malas, sistem yang perlu diperbaiki - Rafizi

 Generasi muda bukan malas, sistem yang perlu diperbaiki – Rafizi

pkr
MOHD. RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tanggapan bahawa generasi muda hari ini bersifat malas, manja dan kurang daya tahan perlu dinilai semula kerana perubahan sikap golongan itu sebenarnya mencerminkan cabaran ekonomi dan sosial yang semakin kompleks.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kecenderungan generasi muda mempersoalkan kepentingan bekerja keras tanpa jaminan peningkatan taraf hidup bukanlah petanda kerosakan nilai.

Beliau berkata, ia menunjukkan wujudnya kelemahan dalam sistem yang gagal memberikan pulangan setimpal terhadap usaha mereka.

“Ramai yang cepat melabel generasi muda hari ini sebagai malas, lembik dan manja. Saya tidak melihatnya begitu.

“Bila satu generasi mula bertanya “buat apa aku bersusah-payah”, itu bukan tanda mereka rosak. Itu tanda sistem yang sudah rosak,” katanya di Facebook hari ini.

Menurut Rafizi, antara tahun 1945 hingga 1960-an yang dianggap sebagai era kemakmuran di Amerika Syarikat, individu yang hanya memiliki kelulusan sekolah menengah mampu memperoleh pekerjaan tetap, membeli rumah dan kenderaan, menyara keluarga serta menghantar anak ke universiti.

“Pada zaman itu, seorang yang habis sekolah menengah, tanpa ijazah, boleh bekerja di kilang berhampiran rumah dan mampu membeli rumah, membeli kereta, membawa keluarga bercuti, dan menghantar anak ke universiti.

“Generasi itu bekerja keras. Tetapi mereka mendapat apa yang sepatutnya. Kerja keras menukar nasib. Itu sebabnya pengorbanan itu berbaloi,” katanya.

Tambah Rafizi, keadaan pada hari ini jauh berbeza berbanding beberapa dekad lalu apabila kerja keras tidak lagi menjamin peningkatan taraf hidup bagi sebahagian besar masyarakat.

“Seseorang boleh bekerja lapan belas jam sehari dan hidupnya hampir tidak berubah. Kurang satu peratus daripada penduduk benar-benar berjaya naik ke kelas yang lebih tinggi. Selebihnya bekerja sekadar cukup makan.

“Bila ganjaran sudah hilang maka tuntutan keseimbangan kerja dan kehidupan wajar. Bukan kemalasan tetapi logik.Bila masyarakat berubah, majikan, kerajaan dan generasi tua hanya ada dua pilihan.

“Lawan, dan tidak ke mana. Atau sesuaikan diri.Sepanjang sejarah, mereka yang bijak sentiasa memilih yang kedua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN