PETALING JAYA: Pasangan selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman, tampil menyangkal dakwaan tidak berasas mengaitkan mereka dengan klip video tular melibatkan kes keganasan terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia.
Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak peguam mereka, pasangan itu menegaskan bahawa mereka bukanlah individu yang dipaparkan dalam klip video berdurasi tiga minit 29 saat yang tular sejak 13 Jun lalu.
“Anak guam kami (Amira dan Fattah) ingin menyatakan dengan jelas bahawa mereka bukan individu di dalam klip video tersebut dan tidak terlibat dengan insiden keganasan itu sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
“Terdapat pihak tidak bertanggungjawab telah menyunting gambar asal anak guam kami yang diambil bersama salah satu pasangan di dalam video tersebut dalam sebuah majlis perkahwinan, lalu disertakan kapsyen berunsur fitnah bagi mengelirukan orang awam,” tulis pihak peguam dalam satu kenyataan.
Bukan itu sahaja, menurut pihak peguam, terdapat individu tidak bertanggungjawab
menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi gambar menunjukkan seolah-olah Fattah dan Amira mempunyai hubungan akrab dengan pelaku di dalam video tersebut.
“Kami mempunyai arahan tegas daripada anak guam untuk menafikan segala kenyataan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap mereka.
“Anak guam kami bukan individu dalam klip video berkenaan dan tidak terbabit dengan insiden keganasan itu, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” tambah kenyataan itu.
Sementara itu, Fattah Amin menerusi hantaran di laman sosialnya turut meluahkan rasa kesal terhadap spekulasi yang disifatkan melampau itu.
“Salam Muharram. Saya dan isteri mengambil maklum beberapa hantaran tular yang mengandungi tuduhan palsu dan fitnah terhadap kami berdua.
“Kami berharap semua pihak berhenti daripada melibatkan diri atau meneruskan sebarang bentuk fitnah serta spekulasi tidak berasas ini,” tegasnya.
Menurut kenyataan peguam itu lagi, penyebaran fitnah tersebut telah melangkaui sempadan negara sehingga melibatkan pengguna media sosial di negara jiran, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan diri pasangan berkenaan.
“Akibat penularan ini, anak guam kami bimbang akan keselamatan mereka memandangkan warga internet di rantau ini telah menzahirkan pandangan serong berasaskan dakwaan palsu tersebut.
“Kami telah menerima arahan tegas untuk mengambil tindakan undang-undang tanpa teragak-agak terhadap mana-mana pihak yang terus menerbitkan, menyebarkan atau menularkan maklumat palsu ini,” katanya.
Pasangan itu turut menyeru agar mana-mana individu yang telah memuat naik hantaran fitnah tersebut segera menurunkannya bagi mengelakkan tindakan mahkamah diambil di bawah undang-undang sedia ada. -UTUSAN










