KUALA LUMPUR: Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak disifatkan sebagai antara sosok dalam PKR yang setia dengan perjuangan reformasi, walaupun berdepan dengan pelbagai halangan dan cabaran sama ada sebelum dan selepas parti itu menjadi kerajaan.
Penasihat NGO Pertubuhan Kebajikan Impak Madani (Impak Madani), John Ooh Sin Hwa berkata, pada masa sama, Farhash tetap istiqamah membantu dan bergerak bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menguruskan negara terutama hal-ehwal ekonomi walaupun ada menteri yang meninggalkan Kabinet di tengah jalan.
“Di kala ada yang lari dan meninggalkan medan perang, Farhash kekal setia bersama Anwar Ibrahim dan terus menyemarakkan api reformasi, dan ketika Anwar menjadi PM, Farhash turut menjayakan usaha melaksanakan reformasi,” katanya,
Sebelum ini, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Nor Syamimi Mohamed Adnan berkata, Farhash merupakan salah seorang individu yang kekal bersama perjuangan reformasi dan Anwar Ibrahim ketika melalui pelbagai cabaran politik.
Ujar Nor Syamimi, walaupun berlatar belakangkan ahli perniagaan yang berjaya sebelum lebih aktif dalam politik, penglibatan Farhash dalam PKR bukan untuk mengejar kedudukan atau kekayaan, tetapi kerana keyakinan terhadap agenda reformasi yang diperjuangkan oleh Anwar.
Mengulas lanjut, Ooh Sin Hwa berkata, di sebalik pelbagai berita negatif mengenai Farhash yang disebarkan pihak tertentu namun hakikatnya beliau telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu masyarakat dalam kerja kebajikan yang lebih memberikan impak daripada janji kosong. – UTUSAN










