PETALING JAYA: Jaguh boling padang negara, Emma Firyana Saroji tekad menebus kekecewaan lalu dengan memburu sekurang-kurangnya pingat gangsa pada penampilan keempatnya di Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada Julai ini.
Emma yang sebelum ini terkandas di peringkat separuh akhir pada edisi lalu, memilih pendekatan lebih berhati-hati dalam menetapkan sasaran.
“Saya tak mahu terlalu letak sasaran tinggi. Yang penting kali ini saya mahu pulang dengan pingat. Step by step,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Emma yang pernah beraksi pada edisi 2014, 2018 dan 2022 mengakui cabaran kali ini lebih getir apabila hanya dua acara dipertandingkan bagi kategori lelaki dan wanita, sekali gus mengecilkan peluang pungutan pingat.
“Bila hanya ada dua acara lelaki dan dua wanita, tanggungjawab jadi lebih berat. Kami kena fokus dan cuba pastikan sekurang-kurangnya dapat satu pingat untuk negara,” katanya.
Mengulas persediaan, Emma berkata peralihan kepada format indoor sepenuhnya menggunakan ‘portable green’ menjadi cabaran utama kerana Malaysia tidak mempunyai kemudahan latihan seumpamanya secara kekal.
“Prestasi semasa okay, cuma ada sedikit yang perlu diperbaiki. Kami masih berlatih, dan akan sertai kem serta kembali menjalani latihan intensif sebelum berlepas,” jelasnya.
Emma turut mengakui tekanan sebagai atlet senior yang memimpin skuad wanita, namun menegaskan ia masih dalam keadaan terkawal serta datang secara positif.
“Tekanan itu ada, tapi bukan sampai mengganggu. Kami anggap ini seperti kejohanan biasa, cuma skala lebih besar. Fokus kami kurangkan kesilapan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kehadiran rakan sepasukan seperti Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Aleena Ahmad Nawawi sebagai kekuatan tambahan, selain berkongsi pengalaman terutama dalam menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan bertaraf dunia. – UTUSAN










