KUALA LUMPUR: Prospek pasaran ekonomi Malaysia bagi separuh kedua tahun ini dijangka lebih positif susulan perkembangan terkini membabitkan kemungkinan perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dilihat mampu meredakan ketidaktentuan geopolitik global.
Ketua Penyelidikan Affin Hwang Investment Bank, Loong Chee Wei berkata, langkah itu berpotensi membuka semula laluan strategik Selat Hormuz yang menjadi nadi kepada hampir 20 peratus bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.
“Pasaran kewangan lazimnya memberi reaksi positif apabila ketidaktentuan geopolitik berkurangan, sekali gus membuka ruang kepada pemulihan ketara dalam pasaran ekuiti global termasuk Malaysia.
“Pasaran tidak menyukai ketidaktentuan. Sebarang perkembangan ke arah penyelesaian konflik akan meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong aliran masuk dana ke pasaran saham,” katanya semasa pembentangan Prospek Pasaran Separuh Kedua 2026 Affin Hwang Investment di sini.
Beliau berkata, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dengan pertumbuhan pendapatan korporat dijangka meningkat sekitar sembilan peratus tahun ini, sekali gus mengatasi purata sejarah.
“Selain itu, purata pulangan dividen pasaran tempatan yang berada pada sekitar empat peratus turut menjadikan Bursa Malaysia kekal menarik kepada pelabur.
“Kebanyakan syarikat tersenarai juga memiliki kedudukan kewangan yang mantap, manakala penilaian pasaran ketika ini masih berada di bawah purata sejarah.
“Gabungan faktor ini bersama inisiatif seperti Program MYValue Up yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia dijangka menarik lebih banyak aliran dana asing ke pasaran tempatan pada separuh kedua tahun ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap pasaran saham Malaysia dengan sasaran akhir tahun bagi Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada paras 1,780 mata, berbanding sasaran terdahulu 1,830 mata yang disemak semula susulan ketidaktentuan pasaran global.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi tahun ini, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan berkembang sekitar 4.8 peratus, manakala nilai ringgit dijangka berada pada paras RM3.80 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun.
“Bagaimanapun, risiko geopolitik dan turun naik pasaran mata wang global masih boleh mempengaruhi unjuran tersebut.
“Secara keseluruhan, kami melihat prospek pasaran Malaysia kekal positif dengan sasaran FBM KLCI pada 1,780 mata menjelang akhir tahun.
“Ini merupakan tempoh yang baik untuk pelabur menilai semula peluang pelaburan dalam pasaran tempatan,” jelasnya. – UTUSAN










