PETALING JAYA: Dua maut manakala seorang lagi berjaya diselamatkan apabila sebuah kereta terbakar dalam kemalangan di Lebuh Raya Duta- Ulu Kelang (DUKE) susur Jalan Kuching dekat sini awal pagi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kira-kira 5.20 pagi berhubung nahas tersebut.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang serta BBP Sri Hartamas segera digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukkan penyelamat mendapati sebuah kereta didapati terbabas lalu terbakar.
“Tiga mangsa terlibat dengan dua mangsa rentung akibat tersepit dalam kebakaran, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan.
“Kebakaran berjaya dipadamkan dan kereta tersebut didapati terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, punca kebakaran dan kemalangan masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM Kuala Lumpur bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Mangsa yang selamat telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya.- UTUSAN










