KETIKA ancaman Covid-19, Dalilah Izzati, 33, dan adiknya, Dalilah Izzatul Aqmal Nasoha, 26, cuma berniaga kecil-kecilan menjual makanan seperti donut dan pau frozen menerusi ‘tunai semasa penghantaran’ (COD) yang beroperasi di rumah mereka di Felda Jengka 10, Bandar Pusat Jengka.

Pemilik Dopau Piza Talam, Dalilah Izzati berkata, peluang perniagaan semasa pandemik Covid-19 enam tahun lalu sekadar membantu serta memudahkan pelanggan ketika waktu kecemasan menyebabkan dua jenis makanan itu mula dikenali ramai.
“Saya dan Dalilah Izzatul sediakan donat dan pau yang mudah dimasak dan teksturnya lembut dan rasanya seperti roti malah enak dimakan panas-panas. Makanan ini lebih mudah disediakan ketika meraikan tetamu dan kudapan bersama keluarga selepas pulang dari bekerja dan sekolah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Kedai Koperasi Felda Jengka 10, baru-baru ini.

Dalilah Izzati berkelulusan bidang Ijazah Sains Komputer dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkata, dia kemudiannya memulakan perniagaan Dopau Piza Talam bersama adiknya selepas menamatkan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama enam bulan dalam bidang konfeksioneri dan bakeri di Pusat GiatMara Raub pada 2022.
Dalilah Izzatul, pemilik bersama Dopau yang juga lepasan TVET dalam bidang konfeksioneri dan bakeri di Pusat GiatMara Raub berkata, mereka mengambil keputusan untuk berpindah dari rumah ke kedai yang lebih selesa milik Koperasi Felda Jengka 10 bagi memudahkan operasi penyediaan piza talam.
“Sebenarnya penggunaan ‘Dopau’ sebagai trademark singkatan daripada perkataan ‘donat’ dan ‘pau’ yang digabungkan antara usaha kami untuk membina perniagaan Dopau Piza Talam dan makanan lain,” ujarnya.
Dia berkata, keistimewaan Dopau Piza Talam terletak pada roti piza dan sos piza yang dibuat sendiri dari awal. Mereka telah melakukan banyak ujikaji resipi sehingga mendapat roti yang lembut walaupun sudah sejuk dan sos piza yang penuh dengan rasa umami tomato serta seimbang rasa masam dan manisnya.

“Kami memilih bentuk petak dan bukan bulat seperti piza biasa untuk membezakan piza Dopau di pasaran. Selain rangup dan lembut, kuantiti bahan isian di atas piza juga penting untuk keseimbangan rasa. Kami meletakkan kuantiti bahan isian yang agak banyak bersesuaian dengan roti piza kami yang sedikit tebal,” katanya.
Katanya lagi, makanan itu dimasak selama 20 minit dalam oven industri yang merupakan antara beberapa peralatan memasak pastri dan bakeri sumbangan geran pihak Mara bernilai RM20,000 selepas kami menerima latihan keusahawanan.
Dia berkata, selepas siap dimasak, Dopau Piza Talam dipotong dan dimasukkan ke dalam bekas untuk dihantar kepada pelanggan dan ada yang memesan terus datang berbelanja di kedainya.
“Terdapat lima pilihan piza bersaiz 8×8 inci yang dijual dengan harga antara RM12 hingga RM20 bergantung kepada banyak bahan seperti sosej, filamen ketam, ayam cincang, peperoni daging, peperoni ayam dan keju mozzarella,” katanya.
Dua beradik itu turut menyediakan piza tanpa keju mozzarella, iaitu Dopau Piza Klasik bagi pelanggan yang tidak meminati keju dengan harga hanya RM12, manakala Dopau Piza Pepperoni Ayam atau Daging, Dopau Piza Cheese Tarik dan Dopau Piza Cheese Hawaian pula dijual dengan harga hanya RM20 sahaja.
Selain itu, mereka juga menjual Donat Gula, Pau Goreng Kelapa, Pau Goreng Kacang Merah, Pau Goreng Coklat, Pau Goreng Bolognese, Pau Goreng Karbonara, Pau Goreng Kari Kentang dan Burger Malaysia yang dijual sebekas dengan harga antara RM5 hingga RM10 sebekas.
Kedai adik beradik itu dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang, kecuali hari Sabtu dan pesanan boleh dibuat menerusi talian 011-36687943.
Mereka turut berterima kasih kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menerusi bantuan kewangan serta latihan keusahawanan termasuk Pusat GiatMara Raub.-UTUSAN









