PETALING JAYA: Pemimpin DAP dan UMNO terbukti boleh duduk semeja sekali gus mempamerkan kematangan politik demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara.
Menerusi kiriman gambar dalam Facebook, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong dilihat duduk bersebelahan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong dari UMNO, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta ditemani Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
Beliau berkata, mereka bersepakat untuk menjayakan program bersama usahawan dari kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat masing-masing.
“Dekat Melaka wajib berpantun, ini saya hadiahkan: Cantik bunga yang muda-muda, Buat kumbang singgah tak pergi; Politik biar berpada-pada, Buat baik kita ‘join’ sekali,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.
Hantaran ahli Parlimen Bukit Mertajam itu dibuat ketika hubungan antara DAP dan UMNO dilihat semakin tegang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, susulan perang kenyataan terbuka antara pemimpin utamanya.
Ia bermula apabila Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan tiada ruang kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan DAP dalam pembentukan kerajaan negeri pasca-PRN, ketika berucap di Iskandar Puteri baru-baru ini.
Hantaran itu kemudian dibalas Mohd Noor Helmy yang berharap proses kelulusan untuk pinjaman RM20,000 ke bawah menerusi Tekun Nasional boleh dibenarkan dalam tempoh 24 jam, sekiranya memenuhi syarat.
“Cuma kalau boleh, proses hendak lepaskan duit pinjaman itu janganlah sehingga 24 hari. Dapat 24 jam lagi baik. Penilaian rujukan rekod CTOS dan CCRIS pun jangan tegang sangat.
“Yang Berhormat Steven Sim sudah mulakan permudahkan proses. Kemudian Menteri KPKT, Nga Kor Ming ketatkan undang-undang pada pemberi pinjam wang berlesen.
“Jangan mudahkan pemberian lesen dan kalau sudah bagi lesen itu pantau sungguh-sungguh. Pantau dan ambil tindakan setiap aduan bukan memihak pada syarikat. Baru betul boleh lawan Ah Long,” katanya. – UTUSAN










