JOHOR BAHRU: Dakwaan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibuat atas ‘arahan’ istana boleh mencetuskan persepsi negatif dan kegusaran awam.
Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr. Mohammad Aswad Ithnain berkata, kenyataan Mohd. Puad itu menyebabkan pergerakan pemuda negeri di beberapa bahagian tampil membuat laporan polis di kawasan masing-masing, hari ini.
Menurutnya, tindakan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu tidak bertanggungjawab apabila mengumumkan keluar parti dan mengaitkan tindakan itu dengan pihak istana.
“Kebanyakan yang keluar parti menjelang pilihan raya adalah sebab tak dapat jadi calon atau anak tak jadi calon. Orang tua patut bagi contoh yang baik kepada anak muda.
“Alasan keluar parti pun tak relevan. Lebih kepada kecewa. Dia nak banding dengan kemasukan KJ (Khairy Jamaluddin) dan H2O (Datuk Seri Hishammuddin Hussein). Jauh beza,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Mohd. Puad yang juga Speaker DUN Johor hari ini mengumumkan keluar UMNO berkuat kuasa serta-merta selain mendakwa berlaku campur tangan dalam keputusan UMNO Johor dengan menuduh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz hanya ‘pak turut’ istana.
“Alasan utama saya keluar UMNO ialah, UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan. UMNO Johor dikawal oleh Istana dalam membuat sesuatu keputusan,” ujarnya.
Tambah Aswad, tindakan tersebut tidak akan menggugat UMNO kerana tidak ada yang lebih besar daripada parti.
“Tiada yang lebih besar daripada perjuangan parti. Berjaya menyiarkan beberapa siri podcast bukan ukuran kejayaan. Ini bukan kekurangan UMNO tapi masalah sikap egois sesetengah orang yang kebetulan berada dalam UMNO,” katanya. – UTUSAN










