Cukup dengan kenyataan Ahmad Samsuri - Presiden Pas

Cukup dengan kenyataan Ahmad Samsuri – Presiden Pas

ABDUL Hadi AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang enggan mengulas perkembangan politik semasa termasuk isu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah ‘bercerai’ namun masing-masing bertegas mahu kekal dalam Perikatan Nasional (PN) dan menggunakan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, buat masa ini, kenyataan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung perkembangan yang berlaku dalam gabungan berkenaan sudah ‘mencukupi’ dan beliau akan membuat kenyataan minggu depan.

“Cukup dengan kenyataan (Ahmad) Samsuri. Minggu depan pula saya buat kenyataan,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Samsuri memaklumkan Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diberhentikan daripada jawatan tersebut.

Selain itu, khidmat Datuk Dr. Radzi Jidin sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya turut dihentikan dan digantikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Katanya, tindakan tersebut diambil sebagai ‘penstrukturan semula’ pentadbiran PN bagi tujuan menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN juga akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi gabungan itu.

Kelmarin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu akan bertanding menggunakan logo PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus menegaskan komitmen parti berkenaan untuk terus kekal dalam gabungan berkenaan.

Perkembangan itu menyaksikan PN dilhat semakin bercelaru selepas Pas dan Bersatu yang telah ‘bercerai’ masing-masing bertegas mahu kekal dalam PN dan menggunakan logo gabungan tersebut pada PRN.

Ia sekali gus mencetuskan polemik mengenai siapa yang bakal menguasai PN dan parti mana akan ditendang keluar daripada gabungan.

Dua parti politik tidak dibenarkan menggunakan logo sama untuk bertanding dalam pilihan raya melainkan mendapat watikah pencalonan daripada pemimpin tertinggi sesuatu parti atau gabungan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN