PETALING JAYA: CIMB Bank Berhad (CIMB) memperkenalkan program Penyelesaian Kereta Pertama bagi membantu pemilik kenderaan kali pertama mendapatkan pembiayaan automotif pada kadar kompetitif, lengkap dengan perlindungan insurans atau takaful serta kad kredit CIMB.
Program tersebut menyasarkan golongan berusia antara 18 hingga 30 tahun dengan menawarkan ekosistem pembiayaan dan perlindungan yang direka untuk membantu mereka mengurus kewangan secara lebih berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank Berhad, Gurdip Singh Sidhu berkata, pemilikan kereta memerlukan perancangan kewangan yang teliti, khususnya bagi pembeli kali pertama yang berdepan kenaikan kos sara hidup dan harga kenderaan.
Menurut beliau, selain akses kepada pembiayaan, pembeli juga perlu memastikan komitmen bulanan kekal dalam kemampuan untuk jangka panjang.
“Penyelesaian Kereta Pertama CIMB mencerminkan komitmen kami terhadap pembiayaan yang bertanggungjawab dengan menggabungkan pelbagai ciri yang membantu mengurangkan kos pemilikan kenderaan seperti cukai jalan dan perlindungan insurans.
“Melalui pendekatan ini, kami berharap dapat membantu pelanggan membuat keputusan pemilikan yang lebih bijak dan mampan dari segi kewangan,” katanya dalam kenyataan.
Inisiatif itu turut mengukuhkan kedudukan CIMB sebagai rakan perbankan pilihan dalam memenuhi keperluan gaya hidup dan mobiliti pelanggan menerusi penyelesaian yang mampu milik dan fleksibel.
Gurdip berkata, pembeli kereta kali pertama akan menikmati pembaharuan cukai jalan percuma selama dua tahun bernilai RM240, sekali gus menjadikan CIMB bank pertama di Malaysia yang menawarkan manfaat tersebut.
“Selain itu, pelanggan turut menikmati kadar pembiayaan yang kompetitif bagi memudahkan proses pembelian kenderaan.
“Perlindungan insurans dan takaful yang disertakan melalui pembiayaan bancassurance pula memberi perlindungan terhadap kejadian tidak dijangka seperti kemalangan atau peristiwa hidup yang boleh menjejaskan keupayaan kewangan pelanggan pada kos minimum,” katanya.
Antara manfaat utama yang ditawarkan ialah perlindungan “Purchase Price GAP” (PPG) yang membolehkan pelanggan menerima bayaran penuh harga pembelian kenderaan sekiranya berlaku kehilangan menyeluruh (total loss).
PPG melindungi perbezaan antara pampasan yang dibayar syarikat insurans dengan harga asal pembelian kenderaan.
Program itu selaras dengan janji jenama CIMB, “Moving You Forward” yang memberi akses dan peluang kepada pelanggan untuk mencapai matlamat kewangan jangka panjang mereka.
Pada masa sama, kad kredit yang ditawarkan menggalakkan amalan perbelanjaan berhemah menerusi pelbagai ganjaran termasuk pulangan tunai bagi petrol dan perbelanjaan berkaitan kenderaan sehingga RM1,200 setahun.
Pelanggan turut menikmati rebat tunai bagi pembelian barangan runcit dan perbelanjaan makan di luar.
Tawaran tersebut membantu mengurangkan kos pemilikan kenderaan sekali gus membolehkan pemilik kereta kali pertama memberi tumpuan kepada keperluan mobiliti mereka sambil membina amalan kewangan yang sihat untuk masa depan. -UTUSAN










