KLUANG: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, B. Guna mahu menyelesaikan masalah capaian internet sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Guna berkata, masalah capaian internet sudah lama membelenggu penduduk di beberapa kawasan Felda Layang-Layang.
Beliau berkata, wakil daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah turun ke kawasan berkenaan bagi menilai keadaan semasa serta merangka pelan menambah baik rangkaian internet.
“Hasil lawatan tersebut memberi keyakinan bahawa penyelesaian terhadap masalah liputan internet di kawasan berkenaan boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.
“MCMC telah berkongsi beberapa cadangan dan pendekatan bagi menyelesaikan masalah rangkaian internet di sini supaya penduduk dapat menikmati capaian yang lebih baik dan stabil,” katanya ketika ditemui selepas sesi ziarah mesra di sekitar Felda Layang-Layang hari ini.
Dalam pada itu, Guna berkata siri lawatan dari rumah ke rumah yang melibatkan kira-kira 40 buah kediaman sejak awal pagi turut membolehkan beliau mendengar pelbagai isu lain yang dihadapi penduduk.
Katanya, antara perkara yang dibangkitkan penduduk adalah termasuk keperluan menaik taraf sistem perparitan bagi mengatasi kejadian banjir kilat serta kebimbangan terhadap ancaman anjing liar yang menjejaskan aspek keselamatan.
Sementara itu, beliau berkata, kempen hari keempatnya memberi tumpuan kepada kawasan pedalaman, kampung tradisional serta perkampungan masyarakat Cina bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan tiada suara rakyat yang dipinggirkan.
Kerusi DUN Layang-Layang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Guna, Chua Jian Boon daripada Barisan Nasional (BN) serta penyandang kerusi, Abd Mutalip Abd Rahim daripada Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN










