Nama Aishah Ilias mungkin sudah jarang menghiasi kaca televisyen berbanding suatu ketika dahulu, tetapi itu tidak bermakna dia melupakan bidang yang pernah membuka jalan buatnya dalam dunia seni.
Sebaliknya, wanita itu kini sedang menikmati satu lagi fasa kehidupan yang membawanya menjelajah pelbagai negara sebagai kru kabin.
Kesibukan kerjaya dalam industri penerbangan membuatkan masanya kini banyak dihabiskan di udara. Walaupun begitu, wanita berusia 39 tahun itu mengakui dia masih mengikuti perkembangan dunia seni dan tidak pernah menutup pintu terhadap sebarang tawaran lakonan.
“Buat masa sekarang saya memang fokus dengan kerjaya sebagai pramugari. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan saya seronok dengan apa yang saya lakukan sekarang.
“Tetapi kalau ada tawaran berlakon yang menarik dan jadualnya bersesuaian, saya terbuka untuk menerimanya. Sebenarnya, saya memang rindu untuk berlakon kerana sudah lama tidak beraksi di hadapan kamera,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi finalis Dewi Remaja 2005 dan 2006 yang pernah sebaris bersama pelakon Izreen Azminda dan Scha Al-Yahya itu, dunia penerbangan dan dunia lakonan mempunyai keistimewaan tersendiri. Kedua-duanya memberi kepuasan yang berbeza dan atas sebab itu dia tidak pernah melihat dirinya perlu memilih salah satu daripada dua bidang tersebut.
Aishah berkata, pengalaman sebagai kru kabin banyak mengubah cara dia melihat kehidupan. Peluang mengembara ke pelbagai negara membuka matanya tentang realiti dunia dan membuatkan dia lebih menghargai apa yang dimiliki hari ini.
“Pada awalnya saya memang terkejut kerana waktu kerja tidak menentu. Waktu tidur juga berubah-ubah sehingga badan mengambil masa untuk menyesuaikan diri.
“Tetapi selepas kira-kira enam bulan, saya mula memahami rentaknya. Sejak itu saya jatuh cinta dengan industri penerbangan dan semakin selesa dengan kerjaya ini,” ujarnya.
Katanya lagi, antara perkara yang paling dihargainya ialah suasana kerja yang positif serta peluang bertemu ramai orang daripada pelbagai latar belakang. Malah, setiap destinasi yang dikunjungi memberikan pengalaman baharu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
“Bila banyak mengembara, kita akan nampak macam-macam keadaan. Ada negara yang susah dan ada negara yang sangat maju, jadi saya belajar untuk lebih bersyukur dengan apa yang kita ada.
“Persekitaran kerja pula sangat menyeronokkan. Kami boleh berbincang dan berjumpa dengan pihak pengurusan tanpa rasa kekok, jadi suasananya memang berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, Aisyah menolak tanggapan bahawa dia meninggalkan dunia seni kerana kecewa atau berdepan kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan. Namun, perjalanan kerjayanya berubah disebabkan beberapa perkara yang berlaku dalam kehidupan peribadinya.
“Ketika saya mahu kembali aktif, keadaan industri sudah banyak berubah. Tidak lama kemudian pula Covid-19 melanda dan semuanya menjadi lebih mencabar.
“Sebab itu perjalanan saya dalam bidang seni agak tertangguh. Tetapi saya tidak pernah melupakan bidang ini dan sentiasa mengikuti perkembangannya,” jelasnya.
Tambah Aishah, dia tidak pernah menganggap dunia seni sebagai satu bidang yang penuh dengan kesukaran. Baginya, setiap pekerjaan mempunyai cabaran tersendiri dan peluang tetap ada bagi mereka yang terus berusaha.
“Saya tidak rasa dunia seni ini satu perjuangan yang terlalu sukar. Kalau kita aktif, rajin dan sentiasa berusaha mencari peluang, insya-Allah rezeki tetap ada.
“Sebab itu, saya tidak pernah melupakan bidang ini walaupun sekarang saya memberi lebih tumpuan kepada kerjaya dalam industri penerbangan,” katanya.
Malah sehingga hari ini, dia masih menerima mesej daripada peminat yang mengenalinya menerusi drama-drama terdahulu termasuk penangan Cinta Ibadah. Ada antara mereka yang kini sudah dewasa, namun masih mengingati watak-watak yang pernah dibawakannya suatu ketika dahulu.
“Ramai yang tegur perkara sama apabila bertemu saya. Kebanyakannya mengenali saya menerusi drama Cinta Ibadah dan mereka masih mengingati watak yang pernah saya bawakan.
“Ada yang menonton drama itu ketika zaman sekolah dan sekarang sudah bekerja. Bila terserempak dalam penerbangan, mereka akan datang menyapa dan berkongsi kenangan menonton drama tersebut,” katanya.










