JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor mengakui gabungan itu berdepan cabaran sebagai ‘underdog’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbanding Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya akan bekerja keras untuk menyantuni seramai mungkin pengundi di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dipertandingkan.
“Bagi pihak kami, kami akan terus mendekati rakyat. Seperti semua sedia maklum, kami bukan kerajaan Persekutuan, kami menganggap diri kami sebagai ‘under dog’. Oleh itu kami akan berusaha gigih untuk menemui seberapa banyak Bangsa Johor yang mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Warga Pangsapuri Saujana di Pangsapuri Bukit Saujana, di sini hari ini. Turut hadir, calon BN bagi kerusi DUN Perling, P. Pannir Selvam.
Pada masa sama, Onn Hafiz yakin momentum jentera parti-parti komponen gabungan itu akan semakin meningkat memasuki tempoh waktu berkempen sepanjang PRN berbanding semasa Hari Penamaan Calon, semalam.
Katanya, jentera BN dari seluruh negara telah digerakkan untuk membantu kempen calon-calon terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC di seluruh Johor.
“Alhamdulillah, daripada segi penamaan calon semalam, kesemuanya berjalan lancar di 56 kerusi DUN. Tidak berlaku apa-apa insiden, saya rasa itulah cara Johor. Kita akan teruskan menjaga keharmonian agar demokrasi yang kita suburkan dilaksana dengan baik.
“Untuk BN, saya lihat momentum semakin meningkat bukan sahaja sebelah pagi selepas penamaan, tetapi juga pada sebelah petang dan malam apabila kita dapat lihat jentera-jentera telah digerakkan dengan aktif,” katanya.










