BN pertahan pendirian Onn Hafiz tolak kerjasama dengan DAP

BN pertahan pendirian Onn Hafiz tolak kerjasama dengan DAP

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mempertahankan pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan menegaskan keputusan itu dibuat bukannya berasaskan sentimen perkauman.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kenyataan Onn Hafiz itu tidak sepatutnya mengundang reaksi berlebihan kerana beliau bukan seorang pemimpin yang bersifat cauvinis atau perkauman.

Menurut beliau, sepanjang menerajui Johor, Onn Hafiz telah membuktikan komitmennya dalam membela kepentingan semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun kecenderungan politik.

“Isu ini bukan soal angkuh atau enggan berhubung dengan pihak yang mempunyai pandangan politik berbeza. Sebaliknya, ia lahir daripada perbezaan prinsip dan pertimbangan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata, pendirian yang dinyatakan Onn Hafiz juga perlu dilihat dalam konteks landskap politik Johor memandangkan negeri itu ditadbir BN pada penggal lalu sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut mengingatkan bahawa pelbagai kritikan, sindiran dan kecaman terhadap UMNO serta BN sering dilontarkan oleh pihak lain di pentas politik, namun perkara itu tidak pernah diperbesarkan atau dibalas secara keterlaluan.

Katanya, tumpuan semua pihak ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi serta kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Daripada terus membesarkan polemik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat, adalah lebih baik semua pihak menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi pilihan raya negeri, menawarkan idea dan penyelesaian terbaik kepada rakyat serta memperkukuh pembangunan ekonomi negeri.

“Akhirnya, rakyat akan menilai berdasarkan prestasi, rekod perkhidmatan dan keupayaan memimpin, bukannya retorik yang memecah-belahkan,” katanya.

Pada 1 Jun lalu, Onn Hafiz mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Kelmarin, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor menolak untuk kerjasama dengan DAP dan sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya keadaan itu berlaku selepas PRN Johor.

Beliau berkata, realiti politik di negeri itu berbeza di peringkat Persekutuan apabila kerjasama BN khususnya UMNO dan DAP tidak pernah terjalin selama ini.

“Apabila kerajaan negeri ditubuhkan semula dengan perkenan Sultan Johor dan pemangku Sultan Johor, sekiranya rakyat memberikan mandat kepada BN untuk memimpin sekali lagi, kita tidak akan sesekali bersama DAP dalam kerajaan negeri.

“Saya lebih rela tidak memegang jawatan Menteri Besar daripada perlu duduk semeja dengan mereka. Ini semangat Johor, Bangsa Johor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN