BATU PAHAT: Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan sokongan dan undi daripada ahli Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN berharap seruan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man itu dapat diterjemahkan menerusi undi di peti undi.
“Baguslah kalau menyokong seluruh 56 calon-calon BN yang bertanding di PRN Johor.
“Saya harap kata-kata itu dapat ditunaikan dan diterjemahkan. Kita tidak mahu hanya seperti menanam tebu di hujung bibir,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani dan Parit Raja di Tanjung Simpang, Jalan Tan Sri Mohamad, Tongkang Pechah.
Sebelum ini, media melaporkan Pas menggesa penyokong Perikatan Nasional (PN) mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi gabungan itu pada PRN Johor bagi menghalang kemenangan Pakatan Harapan (PH).
Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, di kawasan yang tidak ditandingi PN, keutamaan adalah memastikan PH gagal memenangi kerusi berkenaan. – UTUSAN










