PETALING JAYA: Pelakon, Atikah Suhaime menganggap tidak mempunyai duit sebenarnya merupakan cara paling mudah untuk menurunkan berat badan dengan cepat.
Atikah atau Nur Atikah Mohd Suhaime, 35, berkata, dia tidak bersetuju dengan pendapat segelintir individu yang sering berfikir bahawa proses untuk kurus memerlukan modal yang besar.
“Mengapa orang sering berfikir bahawa untuk kurus memerlukan duit yang banyak? Bagi saya, tidak mempunyai duit sebenarnya memudahkan lagi proses menurunkan berat badan.
“Dulu bila tiada duit, saya terpaksa mengikat perut dan tidak makan pada waktu malam. Kadang-kadang, saya terpaksa melangkau waktu makan tengah hari,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Tambah Atikah, keadaan kewangannya yang stabil sekarang membuatkan dia lebih kerap berbelanja untuk makan dan sering meluangkan masa makan malam bersama suaminya.
“Sekarang apabila sudah mempunyai duit, saya sering membeli kopi latte dan kerap makan malam bersama suami. Sampai kadang-kadang saya terpaksa berpura-pura tiada wang atau sengaja tidak membawa dompet supaya tidak memesan kopi tersebut,” ujarnya.
“Petua untuk kurus sebenarnya adalah dengan berpura-pura tidak mempunyai wang supaya kita tidak akan membeli apa-apa. Memang mudah untuk kurus kalau kita tidak mempunyai wang,” katanya
Untuk rekod, Atikah yang berasal dari Singapura telah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Datuk Lokman Teh pada Januari 2024 dan kini aktif menguruskan perniagaan bersama suaminya.










