Bersatu bantah PCM sertai PN

Bersatu bantah PCM sertai PN

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bersatu membantah tindakan Perikatan Nasional (PN) menerima Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai anggota baharu gabungan itu kerana menyifatkan langkah tersebut dibuat secara tergesa-gesa dan berpotensi menambah masalah dalaman parti.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan menerima PCM tidak sepatutnya dibuat dalam keadaan hubungan antara parti-parti dalam PN masih belum diselesaikan sepenuhnya susulan keputusan Pas memutuskan hubungannya dengan Bersatu.

Katanya, kemasukan sebuah parti baharu yang dipimpin bekas ahli Bersatu yang telah dipecat hanya akan merumitkan lagi keadaan dan menambah cabaran kepada gabungan tersebut.

“Wakil-wakil Bersatu membantah keras desakan Pengerusi PN untuk menerima keanggotaan PCM dalam PN.Bantahan dibuat atas dasar PN sedang menghadapi masalah sesama parti anggota apabila Pas memutuskan hubungannya dengan Bersatu.

“Dalam keadaan masalah ini belum selesai, penerimaan parti baharu yang dipimpin oleh bekas ahli-ahli Bersatu yang telah dipecat akan menambah masalah dalaman PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Faizal mendakwa permohonan PCM untuk menyertai PN dibuat secara tidak teratur dan menimbulkan beberapa persoalan dari sudut pematuhan terhadap rekod rasmi parti.

Beliau berkata, permohonan tersebut dibuat oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung PCM, namun hasil semakan rasmi mendapati jawatan berkenaan bagi sesi 2026-2027 disandang oleh Yeo Kwee Kwang.

Katanya, maklumat barisan kepimpinan yang dikemukakan pula menggunakan nama Parti Wawasan Negara sedangkan permohonan keanggotaan kepada PN dibuat atas nama PCM.

“Berdasarkan semakan kami setakat semalam, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama Parti Cinta Malaysia kepada Parti Wawasan Negara belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

“Menggunakan nama parti yang tidak diluluskan oleh JPPM adalah satu kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berkata, Bersatu turut merujuk kepada surat JPPM bertarikh 22 Jun lalu yang memaklumkan beberapa dokumen dikemukakan Setiausaha Agung PN kepada jabatan itu didapati tidak lengkap dan tidak ditandatangani.

Katanya, susulan perkara itu, JPPM meminta PN mengemukakan beberapa maklumat tambahan dalam tempoh tujuh hari selaras dengan Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

“JPPM berhak menangguhkan pertimbangan terhadap penerimaan rekod barisan kepimpinan Majlis Tertinggi PN sehingga semua perkara berbangkit diselesaikan.

“Sehubungan itu, wakil Bersatu telah membangkitkan perkara berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Tergempar PN malam tadi dan berpendirian mesyuarat tersebut perlu ditangguhkan berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh JPPM,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa mesyuarat itu tetap diteruskan walaupun terdapat kebimbangan bahawa tindakan tersebut berkemungkinan bertentangan dengan kehendak JPPM bagi memastikan segala urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan PN, Akta Pertubuhan 1966 serta peraturan yang berkuat kuasa.

Menyentuh mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ahmad Faizal berkata, wakil Bersatu yang diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membentangkan kerusi-kerusi tumpuan parti itu dalam mesyuarat berkenaan.

Katanya, Bersatu turut menegaskan bahawa calon-calonnya pada PRN Johor akan menggunakan logo PN dan pendirian tersebut dipersetujui oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Bersatu akan mengemukakan senarai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan ditandingi untuk penyediaan watikah dan surat kebenaran menggunakan simbol PN.

“Sebagai parti pengasas PN, Bersatu akan memastikan perjalanan dan segala urusan pentadbiran, pengurusan serta aktiviti PN dilaksanakan selaras dengan peruntukan Perlembagaan PN serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966 dan mana-mana peraturan yang dikuatkuasakan oleh JPPM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN