Bersama uji sistem politik rata di PRN Johor

Bersama uji sistem politik rata di PRN Johor

RAFIZI Ramli semasa ditemui pemberita selepas ceramah Jelajah Kancil Negeri Kelantan di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Parti Bersama Malaysia (Bersama) menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai medan pertama menguji keberkesanan flat system atau sistem politik rata yang diaktifkan bermula Isnin ini, dalam usaha merombak kaedah gerak kerja parti dan memperkasa penglibatan ahli secara langsung.

Pemimpinnya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, sistem itu membolehkan arahan daripada kepemimpinan Pusat disampaikan terus kepada setiap ahli di seluruh negara tanpa melalui struktur berlapis yang disifatkan sebagai lambat dan kurang efisien.

Katanya, keputusan PRN Johor menjadi petunjuk awal sama ada pendekatan baharu tersebut mampu menggerakkan seluruh kekuatan parti secara lebih tersusun dan berkesan.

“Kita mulakan di Johor untuk buktikan sudah sampai masa untuk beralih ke sistem rata ini. Insya-Allah, Isnin ini kita umumkan dan lihat jika kita boleh aktifkan semua ahli dari seluruh negara untuk tumpu di Johor bagi tempoh dua minggu.

“Jika kita mendapat keputusan yang mengejutkan orang lain, maka itu adalah bukti pertama konsep sistem rata ini boleh berkesan,” katanya selepas sesi Jelajah Kancil Negeri Kelantan di Pantai Cahaya Bulan, di sini malam tadi.

Rafizi berkata, penggunaan teknologi digital menjadi teras kepada pelaksanaan sistem tersebut kerana membolehkan arahan dan maklumat disampaikan secara terus kepada ahli tanpa perlu melalui peringkat negeri, bahagian dan cawangan.

Katanya, sistem itu juga dijangka membuka ruang kepada kemunculan pemimpin baharu berasaskan kemampuan sebenar mereka memimpin dan mengurus gerak kerja parti, sekali gus mengurangkan budaya melobi untuk mendapatkan jawatan.

“Kita jangkakan setahun daripada sekarang, sistem rata ini memberi ruang kepada setiap ahli untuk menonjolkan diri dan memimpin sesama kumpulan kecil,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN