Bekas kerani guaman tak mengaku pecah amanah sebanyak RM33,827

Bekas kerani guaman tak mengaku pecah amanah sebanyak RM33,827

MAZUIN Marzuki ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Balik Pulau, Pulau Pinang selepas didakwa terlibat dengan enam pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan wang berjumlah RM33,827.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Seorang bekas kerani guaman mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan wang berjumlah RM33,827.

Tertuduh, Mazuin Marzuki, 45, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Berdasarkan pertuduhan, wanita tersebut yang ketika kejadian bertugas sebagai kerani di sebuah firma guaman didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan memasukkan wang milik firma berkenaan ke dalam akaun peribadi miliknya dan akaun suaminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam beberapa transaksi berasingan melibatkan jumlah keseluruhan RM33,827 antara tahun 2020 hingga 2025 di sebuah firma guaman di Jalan Kolam Ikan, Bayan Lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada empat belas tahun selain boleh dikenakan hukuman dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan memohon agar wang jaminan sebanyak RM40,000 ditawarkan bagi semua pertuduhan, namun, tertuduh mahu jumlah itu dikurangkan kerana hanya bergantung kepada pendapatan suaminya yang bekerja dalam sektor kerajaan selain perlu menanggung tiga orang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu lantikan peguam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN