KUALA LUMPUR: Industri takaful Malaysia secara kolektif membayar manfaat tuntutan perlindungan berjumlah RM10.61 bilion kepada pemegang sijil sepanjang tahun lalu, sekali gus mengukuhkan peranan utamanya dalam melindungi kestabilan kewangan rakyat.
Pengerusi Interim Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Borhanudin Samsudin berkata, segmen Takaful Keluarga menyumbang komponen pembayaran tertinggi iaitu sebanyak RM7.91 bilion dengan tuntutan perubatan kekal sebagai komponen terbesar, manakala segmen Takaful Am menyalurkan RM2.70 bilion.
Katanya, pertumbuhan industri kekal berdaya tahan pasca-pandemik apabila sektor ini berkembang sebanyak 4.73 peratus pada 2025 dengan menjana jumlah sumbangan kasar RM16.38 bilion berdasarkan asas perbandingan pasaran yang jauh lebih besar.
“Mandat kami adalah untuk memastikan penyelesaian takaful sentiasa tersedia, mampu diakses dan berdaya tahan melalui penerapan perantaraan berasaskan nilai.
“Fokus kami kini beralih ke arah mengekalkan dan mewujudkan ekosistem takaful yang berkembang selari dengan realiti ekonomi masyarakat Malaysia yang dinamik dan semakin mencabar,” katanya pada sidang media prestasi industri di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Borhanudin berkata, peningkatan bayaran itu didorong oleh pertambahan bilangan sijil berkuat kuasa Takaful Keluarga yang meningkat kepada 6.74 juta sijil pada 2025.
Malah, kadar penembusan Takaful Keluarga berjaya dikekalkan stabil pada paras 19.63 peratus meskipun jumlah penduduk negara meningkat kepada 34.33 juta orang, dibantu oleh lonjakan 15.34 peratus bagi purata saiz kes kepada RM11,300.
Dalam pada itu, segmen Takaful Am menunjukkan prestasi positif dengan sumbangan bertulis kasar meningkat 12.38 peratus kepada RM6.64 bilion berbanding RM5.91 bilion pada tahun sebelumnya.
Takaful kenderaan terus menjadi pemacu utama segmen tersebut dengan menyumbang komponen terbesar iaitu sekitar 69 peratus atau RM4.59 bilion, selari dengan fasa akhir rekod jualan kenderaan baharu negara yang mencecah paras tertinggi sebanyak 820,752 unit.
“Pengendali takaful telah membayar sebanyak RM2.40 bilion untuk tuntutan kenderaan, iaitu merangkumi 88.97 peratus daripada jumlah tuntutan bersih keseluruhan bagi Takaful Am.
“Bagi perniagaan bukan kenderaan pula, takaful kebakaran merekodkan RM1.11 bilion dalam sumbangan bertulis kasar, manakala takaful kemalangan diri meningkat kepada RM422.67 juta didorong oleh pengenalan produk khusus untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Dalam pada itu, industri takaful telah menyalurkan zakat berjumlah RM52.25 juta bagi menyokong agenda pembangunan komuniti, selain mengagihkan RM1.30 bilion sumbangan lebihan serta manfaat kritikal kepada peserta yang layak pada tahun lalu,” katanya.
Mengenai pelan jangka panjang industri, Borhanudin berkata, inisiatif peringkat industri berjalan lancar dengan lebih 60 peratus daripada sasaran pelan strategik Hijrah27 telah dicapai setakat tahun 2025.
“Bagi tahun ini, sasaran kami adalah untuk merealisasikan pencapaian 80 peratus daripada pelan strategik Hijrah27 dengan tumpuan utama bakal diberikan kepada aspek kesedaran takaful serta pembangunan bakat melalui beberapa kerjasama strategik baharu.
“MTA juga menggariskan tiga keutamaan bagi tahun 2026 iaitu memastikan perlindungan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), memperluas pelaksanaan Hibah sebagai instrumen perlindungan harta, serta memacu pelaksanaan liberalisasi berfasa bagi sektor Takaful Am demi mengekalkan kestabilan pasaran,” katanya. –UTUSAN










