Program Baucar Buku Guru MADANI 2025 memberi impak positif kepada pembangunan profesional warga pendidik apabila majoriti guru memanfaatkan sepenuhnya baucar RM100 bagi mendapatkan bahan bacaan berkualiti untuk pembelajaran berterusan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar, dapatan itu diperoleh menerusi sesi temu bual mendalam dan perbincangan kumpulan berfokus (FGD) yang dijalankan terhadap beberapa orang guru bagi menilai keberkesanan pelaksanaan program berkenaan serta meneliti potensi penambahbaikan pada masa hadapan.
“Kajian menunjukkan tahap kesedaran dan pengalaman pengguna terhadap program itu berada pada tahap memberangsangkan apabila guru memperoleh maklumat mengenainya melalui pelbagai saluran termasuk hebahan rasmi sekolah, laporan berita, media sosial dan perkongsian rakan sekerja.
“Majoriti guru mendapati proses penebusan baucar berjalan lancar dengan aplikasi dan laman sesawang yang disediakan mesra pengguna, khususnya bagi mereka yang sudah biasa melakukan pembelian secara dalam talian,” katanya ketika pembentangan Kajian Impak Program Pemberian Baucar Buku Guru Madani 2025 baru-baru ini , sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, yang diadakan di World Trade Centre (WTC) di ibu negara. baru-baru ini.
Adibah berkata, kebanyakan peserta berjaya menebus nilai maksimum baucar dengan purata pembelian sekitar dua buah buku seorang, melibatkan pelbagai kategori termasuk pendidikan, pedagogi, motivasi, keagamaan serta bahan bacaan kanak-kanak.
“Akses kepada bahan ilmiah menerusi program ini turut membantu guru membuat persediaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan lebih mantap.
“Perkara ini juga menyokong usaha meningkatkan kompetensi profesional serta memperkukuh budaya ilmu secara berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, dua buku berkaitan kecerdasan buatan (AI) muncul sebagai judul paling laris ditebus dalam kalangan pendidik menerusi Program Pemberian Baucar Buku Guru MADANI 2025, iaitu Buku AI Guru dan Buku AI
Guru: Siri 2, Rahsia PdP Lebih Hebat dan Menyakinkan nukilan Dr. Ihsan Ismail, Abd. Rahman Ali Bashah dan Ahmad Syahril.
Adibah berkata, trend itu mencerminkan komitmen warga pendidik di negara ini dalam memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah.
“Guru kini bergerak seiring dengan hala tuju negara yang memberi penekanan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya. –UTUSAN










