PETALING JAYA: Sebanyak 633 kes nafkah anak tertunggak dalam tempoh 10 tahun direkodkan hasil aduan yang diterima daripada golongan wanita menerusi platform Telenisa.
Jumlah itu merangkumi 30 peratus daripada 2,110 laporan berkaitan isu tuntutan berkaitan anak di mahkamah syariah yang direkodkan dari 2016 hingga 2025.
Selain tunggakan nafkah anak, kes-kes lain yang diterima termasuk perwalian sebanyak 490 kes, hak jagaan anak (333 kes), pengambilan anak angkat (107 kes), pendaftaran anak (94 kes) serta isu anak tidak sah taraf (86 kes).
Antara alasan-alasan yang diterima sehingga menyebabkan tunggakan nafkah itu adalah nafkah tidak mencukupi, bapa tidak bekerja, bekas suami hilang serta kegagalan bapa membayar nafkah yang mencatatkan jumlah 440 kes dalam tempoh sedekad.
Pengarah Eksekutif SIS Forum (Malaysia), Rozana Isa berkata, data Telenisa sepanjang sedekad itu menyampaikan satu mesej yang konsisten iaitu wanita terus berhadapan kesukaran mendapatkan nafkah, berdepan halangan dalam proses mahkamah bagi mendapatkan jalan dan penyelesaian berkesan.
“Cabaran yang dihadapi oleh golongan wanita ini sangat penting dan masalah yang berulang ini memerlukan perhatian dasar yang berterusan. Data ini bukan sekadar angka. Ini adalah pengalaman sebenar wanita yang direkodkan tahun demi tahun.
“Apabila isu sama terus berulang sepanjang satu dekad dan turut tercatat dalam pelbagai dapatan nasional yang lain, ia perlu diberi perhatian serius dalam usaha memperbaiki dasar, amalan dan tanggungjawab institusi,” katanya semasa Majlis Pelancaran Statistik dan Dapatan Sedekad Telenisa di Auditorium SD Guthrie Tower, Ara Damansara, di sini hari ini.
Telenisa adalah perkhidmatan klinik bantuan guaman percuma ditubuhkan oleh SIS Forum (Malaysia) sejak 2003 dan menyediakan maklumat undang-undang, khidmat nasihat dan rujukan kepada wanita.
Selain nafkah anak, Telenisa turut menerima pelbagai aduan lain seperti keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, poligami dan anak tidak sah taraf dengan jumlah keseluruhan 4,761 pengadu serta aduan paling banyak diterima dari Selangor.
Pada 13 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan dilema dialami umat Islam di negara ini berikutan penangguhan kes di mahkamah syariah termasuk tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak dan nafkah selepas bercerai yang tertangguh lebih 10 tahun.
Sebagai perbandingan, statistik kes kegagalan membayar nafkah anak bagi tempoh 2020 hingga 2025, yang direkodkan oleh Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) jauh lebih tinggi dengan 5,644 kes.
Rozana berkata, kecuaian suami dan bapa dalam melaksanakan kewajipan nafkah terhadap isteri serta anak bukan sahaja mencerminkan kelemahan individu, tetapi menyingkap ketidakberkesanan penguatkuasaan mahkamah dalam memastikan perintah nafkah dipatuhi.
Jelasnya, dapatan Telenisa 2025 menunjukkan pola berulang saban tahun, sama ada nafkah langsung tidak diberikan atau jumlah yang disalurkan tidak mencukupi.
“Hakikat perintah nafkah telah ditentukan oleh mahkamah sebagai suatu arahan mutlak menimbulkan persoalan besar tentang integriti pelaksanaan undang-undang kerana kegagalan pihak suami atau bapa jelas menjejaskan asas kewangan isteri, bekas isteri dan anak-anak yang bergantung kepada nafkah tersebut,” katanya. – UTUSAN










