Bangunan, premis diubah suai jadi bilik sewa secara haram dalam radar Bomba

Bangunan, premis diubah suai jadi bilik sewa secara haram dalam radar Bomba

NORAZAM Khamis (tiga dari kiri) ketika Ops Bersepadu Sarang Burung (Penginapan Haram Berisiko Tinggi) di sekitar Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bangunan dan premis yang diubah suai secara haram menjadi bilik-bilik sewa sempit ibarat ‘sarang burung’ di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor sudah berada dalam radar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Ibu Pejabat JBPM, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya sedang melakukan pemeriksaan untuk melihat ciri-ciri bangunan terbabit.

“Di Kuala Lumpur, jumlah sebenar kita sedang semak dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Dalam perkara ini, kita masih lagi mendapatkan maklumat secara terperinci,” katanya kepada media selepas operasi di sini pada Selasa. Turut hadir Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Hassan ‘As’ari Omar.

Tambah Norazam, pegawai Bomba turut menjalankan risikan dan pemeriksaan bagi mengenal pasti premis yang disyaki beroperasi sebagai asrama haram atau kediaman tanpa kelulusan.

Jelasnya, antara petunjuknya ialah apabila melihat sejumlah besar individu kembali ke sesebuah bangunan, terutama pada waktu malam selepas tamat waktu bekerja.

“Kami akan menjalankan pemeriksaan bagi menentukan sama ada premis itu digunakan sebagai tempat penginapan,” katanya.

Pada 13 Mei lalu, seorang lelaki warga asing ditemukan maut, manakala 11 lagi individu terselamat dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai tiga tingkat di Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur.

Setibanya pasukan bomba di lokasi pada pukul 2.25 pagi, didapati kebakaran melibatkan rumah kedai berkeluasan 15 x 70 kaki persegi yang memusnahkan kira-kira 50 peratus struktur di tingkat bawah dan tingkat satu.

Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan 11 warga asing terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa lelaki disahkan meninggal dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN