Bandar purba coklat tawan hati warganet China

Bandar purba coklat tawan hati warganet China

FAN Sumu menyempurnakan sentuhan akhir karya coklatnya pada sebuah pagoda menggunakan berus lukisan. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG wanita China yang tidak pernah menerima latihan formal dalam bidang seni mendapat perhatian warganet selepas menghasilkan replika mini tiga dimensi (3D) lukisan terkenal Along the River During the Qingming Festival menggunakan 60 kilogram coklat.

Video memaparkan versi coklat bandar purba Bianjing hasil ciptaannya yang dimuat naik pada penghujung Mei lalu oleh penulis blog menggunakan nama samaran Fan Sumu, berjaya meraih kira-kira sejuta tanda suka, menurut laporan Jimu News.

Karya asal yang dihasilkan oleh pelukis Dinasti Song Utara, Zhang Zeduan (960-1127), merupakan antara karya seni paling terkenal dalam sejarah China.

Lukisan berukuran 25.5 sentimeter (sm) tinggi dan 5.2 meter panjang itu terkenal kerana menggambarkan secara terperinci kehidupan harian masyarakat serta pemandangan di sepanjang Sungai Bian di Bianjing, ibu kota ketika itu.

Selain coklat, Sumu turut menggunakan fondan dan kertas beras bagi ‘menghidupkan’ semula lukisan berkenaan dengan begitu teliti.

Sebelum ini, beliau pernah menghasilkan model coklat berdasarkan sebahagian kecil lukisan itu tahun lalu, sebelum mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan versi penuh pada tahun ini.

Karya terbaharunya berukuran 1.22 meter lebar dan tujuh meter panjang, mengandungi 176 rumah, 281 pokok, lebih 20 bot serta 816 figura manusia.

“Setiap rumah mempunyai ketinggian sekitar 10 hingga 20 sm, manakala figura manusia hanya setinggi dua sm. Tingkap paling kecil pula lebarnya kurang daripada satu sm,” katanya dipetik SCMP.

Menurut Sumu, tali yang digunakan pada model seperti dipegang petani untuk menarik kereta sorong adalah setipis sehelai rambut.

“Saya memasukkan coklat cair ke dalam beg paip dan memicitnya untuk membentuk tali sebelum coklat itu mengeras,” katanya.

Sumu pada mulanya menghasilkan projek tersebut di ruang tamu rumahnya, tetapi mendapati ruang itu terlalu sempit.

Beliau kemudian menyewa sebuah rumah yang lebih besar, kira-kira 25 kilometer (km) dari lokasi asal.

Namun, ketika proses pemindahan, banyak hasil kerjanya rosak dan memaksanya memulakan semula projek berkenaan.

Wanita yang dilahirkan selepas tahun 1995 itu merupakan graduan jurusan perdagangan antarabangsa dan tidak pernah mengikuti kelas seni halus. Sebelum ini, beliau aktif sebagai penulis blog berkaitan makanan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Sumu turut menghasilkan model mini coklat pelbagai mercu tanda dalam dan luar negara, termasuk Dewan Keharmonian Tertinggi di Kota Larangan Beijing, Pagoda Yingxian di wilayah Shanxi serta Menara Eiffel di Paris.

Beliau juga menghasilkan salinan lukisan terkenal menggunakan coklat seperti One Thousand Li of Rivers and Mountains serta Mona Lisa karya Leonardo da Vinci.

Sumu berkata, semua kemahiran tersebut hanya dipelajarinya menerusi video dalam talian.

Beliau merancang untuk menghasilkan lebih banyak model seni bina tradisional China yang sentiasa menarik minatnya.

“Saya akan membuat lebih banyak kajian dalam bidang ini dan meneroka cara untuk membantu orang ramai memahami seni bina tradisional dengan lebih mendalam,” katanya.

Karya unik itu turut mendapat pujian daripada jutaan warganet yang kagum dan teruja dengan ketelitian dan kehalusan karya seni coklat tersebut.

“Saya berharap dapat mengecilkan diri dan bermain-main dalam dunia coklat yang diciptakannya. Sumu memang hebat. Beliau patut memohon pengiktirafan rekod dunia,” kata warganet –UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN