Azizulhasni atlet ketiga terima Darjah Bakti daripada Agong

Azizulhasni atlet ketiga terima Darjah Bakti daripada Agong

MOHD. Azizulhasni Awang dikurniakan Darjah Bakti (DB) oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda di Istana Negara, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd. Azizulhasni Awang hari ini, melakar sejarah apabila dikurniakan Darjah Bakti (DB) oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan pengurniaan itu pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda di Istana Negara, hari ini.

Mohd. Azizulhasni menjadi atlet ketiga negara menerima darjah kebesaran berkenaan selepas legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei dan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David yang masing-masing menerimanya pada 2021 dan 2024.

Pengurniaan itu juga merupakan pengiktirafan tertinggi negara terhadap kecemerlangan serta sumbangan berterusan beliau dalam mengangkat martabat sukan berbasikal dan memperkukuh reputasi Malaysia di persada dunia.

Darjah Bakti yang diperkenalkan pada 26 Jun 1975 merupakan antara darjah kebesaran tertinggi Persekutuan yang dikurniakan kepada individu yang berjasa serta memberi sumbangan luar biasa kepada negara dan di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang.

Pengurniaan darjah tersebut terhad kepada 10 penerima sahaja pada satu-satu masa dan tidak membawa sebarang gelaran.

Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman merupakan antara atlet paling berjaya dalam sejarah sukan negara dan telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa selama lebih dua dekad.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu mencipta sejarah apabila muncul juara dunia acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2017 di Hong Kong.

Beliau turut meraih pingat perak acara keirin pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 serta pingat gangsa dalam acara sama pada Olimpik Rio 2016.

Selain kejayaan di pentas Olimpik, ikon berbasikal trek negara itu turut memenangi pelbagai pingat pada Sukan Komanwel, Sukan Asia dan kejohanan antarabangsa lain.

Awal Mei lalu, Azizulhasni sekali lagi membuktikan keupayaannya apabila mempamerkan aksi kompetitif pada Siri Piala Trek Jepun di Shizuoka dengan merangkul satu pingat perak dan dua pingat gangsa.

Beliau turut menjuarai acara keirin pada Piala Dunia Trek UCI 2026 di Velodrom Nasional di Nilai, Seremban, Negeri Sembilan pada April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN