Anggota polis dikaitkan video tular di China akan dipanggil JIPS

Anggota polis dikaitkan video tular di China akan dipanggil JIPS

AIDA ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan memanggil seorang saksi yang juga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikecam selepas memuat naik video sekumpulan pelancong dari Malaysia yang didakwa menghina penduduk tempatan ketika bercuti di China.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid berkata, siasatan akan dijalankan terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam perkara berkenaan.

“Perkara ini masih dalam siasatan pihak polis dan pihak JIPS akan menjalankan siasatan secara telus dan jika wujud sebarang pelanggaran tatakelakuan.

“Tindakan akan diambil di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 ” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, wanita yang dikecam selepas memuat naik video sekumpulan pelancong dari Malaysia menghina penduduk tempatan ketika bercuti di China membuat permohonan maaf berhubung perkara itu.

Wanita terbabit menerusi hantaran di akaun mengakui kekhilafannya dan menyesal atas perbuatan itu.

Sebelum ini, rakaman video sekumpulan pelancong dari Malaysia yang menjerit ‘busuk’ dan ‘tak mandi’ sambil menutup hidung di tempat awam di China tular di media sosial sekali gus mengundang kemarahan orang ramai termasuk rakyat tempatan.

Malah, kontroversi itu turut mendapat liputan media meluas di luar negara termasuk di Amerika Syarikat menerusi laporan disampaikan oleh Cary Johnston dalam program Firstpost America.

Rakaman itu menunjukkan individu tidak dikenali dirakam di dalam pengangkutan awam sambil diperlekeh dalam bahasa Melayu.

Walaupun video asal sudah dipadam, namun rakaman terbabit masih tersebar dan mengundang pelbagai kritikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN