Anak penjual nasi lemak cemerlang STPM

Anak penjual nasi lemak cemerlang STPM

MUHAMMAD Zhariff Farhan dan ibunya, Hamizatul Earini Zolkipli menunjukkan keputusan STPM yang diperolehnya ketika ditemui di Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di Seremban, hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kesibukan membantu ibu bapanya berniaga nasi lemak malah mengurus lima orang adiknya bukan penghalang buat pelajar Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di sini memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Muhammad Zhariff Farhan, 20, berkata, kejayaan meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 adalah hasil usaha berterusan sejak awal pengajian selain dorongan kuat daripada guru serta persekitaran pembelajaran yang kondusif.

“Bagi saya, STPM memerlukan persediaan sejak dari awal. Banyak faktor yang menyumbang kepada keputusan saya termasuk suasana kelas, sekolah dan sokongan guru-guru.

“Disebabkan adik-beradik ramai dan keadaan rumah agak sibuk, saya biasanya belajar pada waktu malam ketika semua sudah tidur. Selalunya saya mula belajar sekitar pukul 9 malam hingga 3 pagi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, rutin hariannya bermula dengan bangun seawal pukul 5.30 pagi untuk menyediakan bahan masakan bagi perniagaan nasi lemak yang diusahakan ibu bapanya.

Selain itu, dia juga perlu membantu menguruskan adik-adiknya di rumah ketika kedua ibu bapanya sibuk menguruskan perniagaan.

“Bagi saya, tanggungjawab terhadap keluarga bukan penghalang untuk berjaya. Sebaliknya ia menjadi motivasi untuk saya belajar bersungguh-sungguh dan mengubah kehidupan keluarga pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Zhariff turut berkongsi impiannya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sementara itu, ibunya, Hamizatul Earini Zolkipli, 41, berkata, kejayaan anak sulungnya itu tidak mengejutkan kerana beliau sentiasa melihat kesungguhan dan disiplin yang ditunjukkannya sepanjang tempoh pengajian.

Katanya, anaknya itu gemar membaca dan sering berkongsi pelbagai ilmu yang dipelajari terutama berkaitan sejarah.

“Dia memang suka membaca dan sentiasa bercerita kepada saya tentang apa yang dibacanya. Kadang-kadang ketika saya membuat kerja rumah, dia akan duduk di sebelah dan berkongsi pelbagai kisah sejarah.

“Sebab itu saya yakin dengan usaha yang ditunjukkan, dia mampu mencapai keputusan yang cemerlang,” katanya.

Katanya, anak sulungnya itu banyak membantu menjaga adik-adiknya selain memantau pelajaran mereka malah turut melakukan pelbagai kerja rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN