Anak buaya masuk jaring nelayan

Anak buaya masuk jaring nelayan

SEORANG anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyiapkan pengikat untuk membawa anak buaya yang termasuk ke dalam jaring nelayan di Sungai Lereh, Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rutin seorang nelayan turun ke sungai untuk mencari rezeki bertukar menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakannya.

Ini kerana jaring yang dilemparkannya bukan sahaja dipenuhi tangkapan ikan, sebaliknya turut memerangkap seekor anak buaya dianggarkan seberat kira-kira 15 kilogram dengan panjang 1.5 meter di Sungai Lereh di sini.

Muhammad Rafiq Musa, 36, berkata, pada mulanya dia menyangka jaring tersangkut pada kayu atau objek besar di dasar sungai sebelum terlihat reptilia itu meronta-ronta dalam jaring.

“Saya ingatkan jaring tersangkut atau dapat ikan besar. Bila saya tarik perlahan-lahan, rupanya seekor anak buaya yang terperangkap dalam jaring,” katanya ketika ditemui di Rumah Pangsa Lereh hari ini.

Muhammad Rafiq berkata, meskipun tergamam dengan penemuan itu, dia cuba bertenang dan mengambil langkah berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan kepada kedua-dua pihak.

Katanya, anak buaya itu bertindak agresif dan cuba menggigit ketika usaha mengeluarkannya daripada jaring dilakukan.

“Saya gunakan tali untuk mengikat mulutnya terlebih dahulu sebelum menutup mukanya dengan guni. Selepas itu baru saya dapat mengawal pergerakannya dan membawanya ke kawasan yang selamat,” katanya.

Katanya, kehadiran buaya di sungai itu bukanlah sesuatu yang asing kerana sering dilihat penduduk dan nelayan tempatan berhampiran muara Sungai Lereh, khususnya sewaktu air surut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong yang turut berada di lokasi kejadian berkata, pemeliharaan habitat semula jadi perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan kejadian haiwan liar, khususnya buaya memasuki kawasan penempatan penduduk.

Katanya, gangguan terhadap habitat semula jadi akibat pencemaran dan pembangunan tidak terkawal menyebabkan haiwan berkenaan keluar mencari sumber makanan serta kawasan perlindungan baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN