Aktiviti tanaman padi masih perlahan, bawah 30 peratus

Aktiviti tanaman padi masih perlahan, bawah 30 peratus

HANYA sebahagian kecil pesawah di kawasan MADA memulakan kerja-kerja penanaman padi bagi Musim 1/2026 apabila proses itu baru mencecah tahap 28.8 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Aktiviti penanaman padi bagi Musim 1/2026 di kawasan jelapang padi di negeri ini dan Perlis masih perlahan apabila hanya berada pada tahap 28.8 peratus, setakat semalam.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkata, pihaknya amat berharap para petani yang belum memulakan kerja-kerja penanaman untuk segera berbuat demikian.

“Berdasarkan rekod sehingga semalam, aktiviti pratepuan sebenarnya sudah hampir selesai iaitu mencapai 99.5 peratus, manakala aktiviti penyediaan tanah pula mencatatkan kemajuan sebanyak 91.4 peratus.

“Bagaimanapun, aktiviti penanaman masih berada pada tahap 28.8 peratus, justeru pihak MADA berharap baki kawasan yang belum bertanam dapat disegerakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah agensi itu, mereka komited dalam memastikan kelangsungan pengeluaran padi negara melalui pemantauan berterusan terhadap status bekalan air dan kemajuan aktiviti penanaman di kawasan jelapang MADA.

Katanya, pemantauan itu dilaksanakan bagi memastikan setiap peringkat aktiviti penanaman dapat dijalankan dengan teratur serta mengikut jadual yang ditetapkan.

“Sehingga kini, laporan status hidrologi menunjukkan petak-petak bendang menerima taburan hujan yang baik dan mencukupi. Ini peluang terbaik untuk peladang memulakan kerja-kerja sawah dengan segera menggunakan kaedah tabur terus basah,” katanya.

Jelasnya, purata hujan harian di kawasan bendang untuk seluruh Kawasan Muda adalah sebanyak 8.8 milimeter (mm) dengan Wilayah II, Jitra mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 12.2mm, diikuti oleh Wilayah III, Pendang 9.8mm.

“Bagi Wilayah IV, Kota Sarang Semut pula mencatatkan bacaan 6.9mm dan Wilayah I, Perlis sebanyak 4.7mm. Pihak MADA turut melepaskan air dari empangan secara terkawal pada kadar 800 kaki padu sesaat bagi tujuan domestik dan industri.

“MADA berharap kerjasama semua peladang untuk mengambil peluang bagi mempercepat aktiviti penanaman padi dengan kaedah bersesuaian, serta menggunakan sumber air sedia ada secara berhemah dan optimum bagi mengelak pembaziran, sekali gus memastikan hasil padi musim ini berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, status takungan air di tiga empangan utama MADA masih berada pada tahap yang stabil dengan jumlah keseluruhan sebanyak 506,168 ekar kaki atau 41.39 peratus.

Empangan Pedu merekodkan sebanyak 378,470 ekar kaki bersamaan 43.25 peratus, manakala Empangan Muda sebanyak 14,750 ekar kaki bersamaan 11.80 peratus dan Empangan Ahning sebanyak 112,948 ekar kaki atau 50.65 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN