BATU PAHAT: Semua ahli UMNO digesa untuk tidak melayan atau membalas serangan yang dilakukan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, sebaliknya fokus membantu calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pemimpin dan ahli UMNO memberi tumpuan kepada usaha menyokong kesemua 56 calon BN yang bertanding
Beliau berkata, kenyataan Mohd Puad yang terus mengkritik BN dan mengulas mengenai calon pada PRN kali ini merupakan pandangan peribadi beliau yang perlu dihormati tanpa mencetuskan pertelingkahan berpanjangan.
“Dr Mohd Puad mengatakan PRN kali ini dan menyentuh soal calon kita serta rakan-rakan.
“Itu pandangan peribadi beliau. Beliau adalah sahabat kita. Saya fikir eloklah jika pandangan itu berbeza, di saat ini kita letakkan tanda noktah supaya tidak timbul permasalahan di akhir nanti,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera BN, Sri Gading di Parit Sulong, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Puad yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerusi hantaran di Facebook menyifatkan calon-calon BN bagi PRN Johor ke-16 sebagai kitar semula, mediocre (biasa-biasa) dan anti aspirasi anak muda.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu turut menyifatkan calon-calon BN itu sebagai cacamarba, tidak menarik dan tidak menggambarkan perubahan.
Beliau memetik beberapa nama yang digugurkan pada PRU-15 tetapi dipilih untuk bertanding.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, sebagai sahabat, beliau berharap Mohd Puad tidak lagi membangkitkan isu kerana ia hanya akan mengundang serangan balas daripada pelbagai pihak.
“Jika sesuatu isu terus dibangkitkan, sudah tentu akan ada pihak yang membalas.
“Apabila berlaku balas-membalas, ia bukan sesuatu yang baik.
“Saya tidak mahu perkara-perkara yang boleh mengaibkan mana-mana pihak dibangkitkan kerana sebagai orang Islam kita tidak sepatutnya membuka aib sesama sendiri,” katanya. – UTUSAN










