74 murid SATANGI terima Anugerah Cemerlang 2025

74 murid SATANGI terima Anugerah Cemerlang 2025

Muhamad Ammar, Muhamed Sultan dan Nor Azila Abd. Kadir (tengah) bersama penerima Anugerah Cemerlang SATANGI bagi Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) 2025 di Johor Bahru baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI 74 murid diraikan pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang Tahun 2025, Sekolah Agama Taman Pelangi (SATANGI), Johor Bahru, Johor, baru-baru ini .

Tiga murid menerima Anugerah Khas iaitu Nurhakimi Azman yang meraih Anugerah Tokoh Murid 2025; Muhammad Al-Hafiz Abdul Malik menerima Anugerah Salahuddin Al-Ayubi 2025; dan Nur Uzma Mohd Shukor (Anugerah Fatimah Az Zahra 2025).

Majlis itu diadakan sempena Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Sekolah Agama Taman Pelangi Ke-36, yang dirasmikan oleh Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Johor, Muhamad Ammar Abdullah.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan sijil, piala dan hadiah iringan kepada 23 murid Sijil Darjah Khas Agama (SDKA Cemerlang 2025; empat lagi menerima Anugerah SDEA Cemerlang 2025 dan lima murid meraih Anugerah UPKK Cemerlang 2025.

Turut hadir, Guru Besar SATANGI, Nor Azila Abd. Kadir serta Pengerusi Badan Kebajikannya, Muhamed Sultan A Hamid.

Pada majlis sama, 24 murid menerima Anugerah Kecemerlangan Murid 2025 (Tahap 1) dan 15 lagi meraih Anugerah Kecemerlangan Murid 2025 (Tahap 2).

Terdahalu, Muhamad Ammar dalam ucapannya berkata, ibu bapa perlu menitikberatkan pendidikan agama anak mereka termasuk melalui pendidikan formal di sekolah agama Kerajaan Negeri Johor.

 

 

 

Beliau menegaskan, pendidikan agama yang tersusun sejak usia muda merupakan wadah penting dalam membentuk akhlak, jati diri dan pegangan hidup anak-anak.

Sehubungan itu, Muhamad Ammar mengingatkan ibu bapa supaya tidak mengambil ringan soal tanggungjawab menghantar anak ke sekolah agama serta mengambil peluang disediakan Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan setiap anak mendapat asas ilmu agama yang kukuh.

“Jangan kita menunggu sehingga timbul masalah untuk mencari didikan agama. Sebaliknya, bekalkan anak dengan ilmu agama sejak awal supaya mereka membesar dengan panduan yang benar dan menjadi generasi cemerlang dunia dan akhirat sekali gus memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN