PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 73 individu iaitu ejen dan pemilik syarikat, kerana disyaki memalsukan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM9 juta pada Selasa lalu.
Kesemua suspek, 48 lelaki dan 25 wanita berusia lingkungan 20 hingga 70-an, ditahan di pejabat SPRM seluruh negara kecuali di Perlis.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan berkenaan antara tahun 2024 hingga 2025.
“Kesemua suspek dipercayai membuat tuntutan palsu membabitkan bantuan penggajian daripada kerajaan sebanyak RM1,500 setiap bulan selama enam bulan untuk setiap pekerja yang diambil bekerja oleh majikan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” kata sumber dalam kenyataan hari ini.
Pada 9 Jun lalu, SPRM melalui Bahagian Perisikan, Bahagian Siasatan dan SPRM Negeri dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjalankan satu operasi bersepadu.
Melalui operasi itu, penggeledahan dijalankan di 90 lokasi membabitkan premis syarikat dan menahan 83 individu terdiri daripada enam orang ejen dan 77 pemilik syarikat.
Risikan dijalankan sejak November tahun lalu, menyasarkan 143 syarikat seluruh negara dengan 320 individu yang dikaitkan dengan tuntutan berkenaan.
Menurut sumber, melalui operasi berkenaan, SPRM sudah merakam 104 percakapan membabitkan 32 orang kena siasat (OKS) dan 72 saksi.
“Melalui operasi ini juga SPRM sudah membekukan sebanyak 25 akaun bank syarikat dengan jumlah kira-kira RM390,000,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Katanya, siasatan masih berjalan dan perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – UTUSAN










