JOHOR BAHRU: Lebih 3,000 pekerja dikenal pasti terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global serta konflik berterusan di Asia Barat, dengan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan antara yang paling terkesan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, jumlah itu dijangka terus meningkat sekiranya keadaan ekonomi global semakin meruncing, sekali gus menyebabkan pertambahan individu kehilangan pekerjaan di negara ini.
Katanya, kerajaan bersedia membantu golongan terbabit menerusi peluang meningkatkan kemahiran (reskilling) dan latihan semula (upskilling) di bawah tabung Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, kementerian kini menyediakan kertas kerja bagi membolehkan peruntukan tabung TVET disalurkan dalam bentuk geran berbanding pembiayaan seperti dilaksanakan ketika ini.
“Kita akan memberi peluang kepada mereka yang kehilangan pekerjaan mengikuti latihan sebelum disalurkan ke pekerjaan yang sesuai menerusi portal MyFutureJobs di bawah PERKESO,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Inisiatif Perabot Madani dan Program Kalvi Madani Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di SJKT Jalan Yahya Awal, di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Ramanan berkata, kerajaan menjangkakan ketidaktentuan ekonomi dunia akan terus memberi tekanan kepada pasaran buruh negara, namun keadaan di Malaysia masih terkawal berbanding beberapa negara jiran.
“Thailand dan Filipina berdepan kekurangan bekalan minyak, tetapi di Malaysia harga minyak masih kekal dan bekalan di stesen minyak juga mencukupi. Setakat ini, tiada masalah bekalan,” katanya. – UTUSAN







