PETALING JAYA: Seramai 224,559 masyarakat Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia terus menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
JAKOA memaklumkan, bantuan itu merangkumi pelbagai peringkat kehidupan bermula daripada bayi, kanak-kanak, belia, dewasa, warga emas, pesakit hingga urusan kematian.
Katanya, inisiatif tersebut meliputi aspek kebajikan, pendidikan, kesihatan, pembangunan ekonomi dan pembangunan komuniti Orang Asli.
“Bagi kategori bayi, kerajaan menyediakan bantuan susu formula khas kepada bayi pramatang tertakluk kepada syarat dan kelulusan permohonan.
“Bagi kanak-kanak pula, bantuan yang disediakan termasuk pakaian seragam murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu, tuntutan pelbagai kos persekolahan, wang saku, pengangkutan, makanan murid sekolah rendah di kawasan pedalaman, keperluan diri di asrama serta bayaran berkhatan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, untuk kategori belia, bantuan merangkumi wang sagu hati anugerah murid cemerlang peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), bantuan sagu hati one-off persediaan kemasukan serta pembiayaan yuran pengajian dan elaun sara diri.
“Belia Orang Asli turut menerima kemudahan tiket penerbangan ke institusi pengajian tinggi (IPT) di Sabah dan Sarawak, selain peluang mengikuti latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3, TVET In-Situ JAKOA serta Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK).
“Bagi kategori dewasa, kerajaan menyediakan pelbagai program ekonomi termasuk Suntikan Usahawan Alaf Rezeki (SUAR), Lonjakan Optimasi Niaga (LONJAK), Program Sokongan Usahanita Raih Impak A (SURI-A), Geran Inisiatif Latihan, Advertasi dan Pensijilan (GILAP), serta Skim Insentif Sokongan Koperasi (SISKOP),” katanya.
Selain itu, Geran Koperasi Orang Asli (G-KOP), Program Tunas Komuniti, Agro Tunas, Agrotek dan Agro Lestari bagi membantu usahawan, petani pemula, koperasi serta komuniti membangunkan aktiviti ekonomi masing-masing.
Katanya, dalam aspek kesihatan dan kebajikan, bantuan merangkumi pengurusan jenazah, pengangkutan pesakit atau pengiring dan jenazah melalui laluan darat serta air, susu formula khas kepada pesakit terlantar, rawatan hemodialisis atau CAPD, pembedahan, peralatan sokongan, anggota palsu, bayaran ujian makmal, ubat, vaksin serta bantuan kepada pesakit tibi, kusta dan penyakit berjangkit.
“Pelaksanaan inisiatif itu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi memastikan kesejahteraan, kebajikan dan masa depan masyarakat Orang Asli terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN










