18 pelajar terbaik STPM 2025 terima tajaan yuran pengajian

18 pelajar terbaik STPM 2025 terima tajaan yuran pengajian

FADHLINA Sidek semasa Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) Tahun 2025 di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Seramai 18 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 bakal menerima tajaan yuran pengajian ijazah sarjana muda daripada universiti awam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif tersebut merupakan kali pertama dilaksanakan melibatkan kohort STPM 2025 dengan setiap universiti awam menawarkan biasiswa yuran pengajian kepada pelajar terbaik peperiksaan itu.  

Menurutnya, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa laluan pendidikan Tingkatan Enam serta memastikan pelajar cemerlang terus mendapat sokongan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.  

“Bermula dengan kohort STPM 2025, setiap universiti awam akan menawarkan biasiswa yuran pengajian Ijazah Sarjana Muda kepada pelajar terbaik STPM 2025.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua universiti awam atas ikhtiar ini,” katanya pada sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) Tahun 2025 di sini, hari ini. 

Pada majlis sama, seramai 57 penerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM termasuk MUET dan SKBMW diraikan atas pencapaian cemerlang masing-masing. 

Fadhlina berkata, kerajaan yakin pelajar Tingkatan Enam mempunyai potensi besar untuk berjaya dan menjadi aset penting kepada pembangunan negara pada masa hadapan.  

Katanya, tanggungjawab kerajaan adalah memastikan golongan tersebut memperoleh peluang, sokongan dan ruang terbaik bagi mengembangkan potensi mereka demi masa depan diri, keluarga dan negara.  

Sementara itu, beliau berkata, STPM terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila diterima oleh lebih 2,000 universiti di seluruh dunia selain pengiktirafan daripada Cambridge University Press and Assessment, United Kingdom yang turut dicatatkan pada sijil berkenaan.  

“Pencapaian STPM 2025 turut menunjukkan peningkatan apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat kepada 2.88 berbanding 2.85 pada tahun sebelumnya.  

“Kejayaan ini membuktikan kesungguhan pelajar, guru serta ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan dalam memastikan kecemerlangan pendidikan negara terus dipertingkatkan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN