KUALA LUMPUR: Kira-kira 123,800 golongan keluarga berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) menerima manfaat menerusi Skim Perlindungan Kesihatan Sosial (mySalam) membabitkan pembayaran tuntutan berjumlah RM108 juta sehingga Mei lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi semasa itu menunjukkan skim perlindungan kesihatan percuma berkenaan terus dimanfaatkan secara aktif oleh kumpulan sasar yang berdepan risiko kesihatan dan penyakit kritikal.
Beliau berkata, seramai 298,126 individu menerima manfaat dengan jumlah tuntutan RM276 juta pada tahun lalu berbanding 190,725 penerima pada 2024.
“Sejak mula dilancarkan pada 2019 sehingga Disember 2025, seramai 1,880,069 individu sudah menerima manfaat dengan keseluruhan jumlah tuntutan dibayar mencecah RM1.42 bilion.
“Berdasarkan kriteria kelayakan semasa Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun ini, seramai 9,151,849 penerima STR layak mendapat manfaat di bawah mySalam,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta menyatakan tahap keberkesanan skim mySalam dalam membantu golongan B40 mendapatkan perlindungan kesihatan khususnya bagi penyakit kritikal dan kos hospitalisasi.
Amir Hamzah berkata, baki dana berjumlah RM490.9 juta setakat tahun lalu membuktikan skim berkenaan masih berupaya dan berkesan untuk meringankan beban kewangan golongan sasar yang terjejas akibat masalah kesihatan.
Katanya, skim yang menyediakan bantuan kewangan bagi 50 jenis penyakit kritikal tersenarai termasuk kanser, penyakit buah pinggang dan jantung itu pada asalnya hanya dilaksanakan untuk tempoh lima tahun iaitu dari 2019 hingga 2023.
“Namun, selaras dengan komitmen kerajaan untuk membantu golongan B40 yang berdepan risiko kesihatan, pelaksanaannya sudah dilanjutkan sehingga 2026 melalui Belanjawan 2024 dan Belanjawan 2026,” katanya. – UTUSAN










