120 pelajar cemerlang SPM 2025 Sungai Manik terima sumbangan

120 pelajar cemerlang SPM 2025 Sungai Manik terima sumbangan wang ringgit

PELAJAR Cemerlang SPM 2025 dalam DUN Sungai Manik menerima penghargaan dalam satu majlis Kenduri Rakyat di Pasir Salak baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 120 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik, diraikan dalam satu majlis yang berlangsung meriah baru-baru ini.

Sebagai penghargaan atas kecemerlangan yang diraih, pelajar yang memperoleh keputusan 5A dan ke atas menerima sumbangan wang tunai antara RM200 hingga RM400 daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Skuad Prihatin.

Penaung Skuad Prihatin, Mohd. Nazari Sabran berkata, sumbangan itu disalurkan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha gigih dan penat lelah pelajar sehingga berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Katanya, penghargaan tersebut diharapkan dapat menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk terus melakar kecemerlangan di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan anak-anak Sungai Manik.

“Selepas ini, mereka akan menerima surat tawaran pengajian,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam Kenduri Rakyat Aidilfitri DUN Sungai Manik 2026 di Dewan Besar Parit 6/6, Pekan Rabu di Pasir Salak baru-baru ini.

Menurut beliau, jumlah penerima di bawah inisiatif program pelajar cemerlang itu meningkat pada tahun ini selepas ia dibuka kepada anak-anak Sungai Manik yang melanjutkan pelajaran di luar kawasan.

“Tahun lepas pun sama, kita beri sumbangan kepada pelajar yang memperoleh 5A ke atas cuma kali ini kita buka kepada pelajar-pelajar yang belajar di luar.

“Sebelum ini, kita beri kepada pelajar cemerlang dari empat sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Manik, SMK Sultan Abdullah, SMK Kampung Bahagia dan SMK Dato’ Sagor.

“Tahun ini, kita buka kepada seluruh anak-anak Sungai Manik yang berjaya walaupun dia belajar di luar kawasan atau negeri. Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, Kenduri Rakyat Aidilfitri DUN Sungai Manik menerima sambutan luar biasa apabila menghimpunkan lebih 5,000 tetamu dalam kalangan penduduk setempat.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak berkata, selain sumbangan kepada pelajar cemerlang, turut diadakan penyampaian kotak makanan kepada 250 keluarga serta sumbangan kepada 26 bakal jemaah haji dari DUN Sungai Manik.

“Alhamdulillah, program yang turut melibatkan kerjasama NGO lain khususnya yang berada di Sungai Manik ini berjalan baik dan lancar,” katanya. _UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN